HIBURAN
Elite kembali gegar pentas dengan konsert ELITE LIVE ‘25 September depan

Penganjuran konsert oleh Icon Intertainment itu merupakan ulang tahun ke-30 keberadaan Elite dalam industri seni hiburan tanah air. - Gempak.com
SELEPAS kemunculan di Konsert GenKRU mendapat perhatian, kumpulan popular, Elite bakal mementaskan konsert ELITE LIVE ‘25 pada September depan.
Lebih manis, penganjuran konsert yang dibawakan oleh Icon Intertainment itu merupakan ulang tahun ke-30 keberadaan Elite dalam industri seni hiburan tanah air.
Buat Elite, lamaran Icon Entertainment untuk mewujudkan mimpi mereka melakukan konsert dalam skala besar adalah sebuah peluang yang hadir bersama kegusaran.
"Sejujurnya kami gusar mengenangkan banyak perkara kerana seperti semua tahu, Elite sudah lama tidak melakukan persembahan pentas apa lagi dalam skala besar. Jadi apabila menerima lamaran Icon Entertainment, perasaan kami bercampur baur."Bagaimanapun kami memutuskan untuk bersetuju dan akhirnya ELITE LIVE '25 akan dilaksanakan.
"Keputusan ini mengambil kira tentang karya-karya yang diciptakan buat Elite masih digemari, masih relevan dan Elite mahu berpesta dengan peminat lama serta meraikan peminat yang baru mengenali kami nanti," ujar Linda mewakili Elite.
Bercakap mengenai penganjuran ELITE LIVE '25, Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang menyifatkan semua perancangan yang disusun akan menjadi satu momen penting bukan sahaja buat Elite tetapi industri muzik tempatan.
"Sebagai penganjur, Icon Entertainment sedar bahawa kami sendiri telah menganjur banyak konsert. Industri hiburan tempatan dan Nusantara juga jadi meriah dengan banyaknya konsert dalam kalangan rakan penganjur saya yang lain dan ini menunjukkan betapa sihatnya industri kita.
"Jadi penganjuran ELITE LIVE '25 bukan penganjuran tangkap muat kerana saat ini konsert sedang hype tetapi melihat betapa relevan girl band ini untuk melakukan konsert berskala besar yang sepadan dengan kewujudan mereka.
"Penganjuran ELITE LIVE '25 akan menjadi sejarah penting bukan hanya kepada kumpulan ini tetapi industri muzik amnya kerana karya-karya hebat yang diciptakan pada tahun 90-an misalnya masih menjadi kegemaran ramai," ujar Iman Tang.
ELITE LIVE ‘25 bakal dipentaskan pada 20 September 2025 di Plenary Hall Kuala Lumpur Convention Centre.
Tiket boleh diperoleh menerusi www.ticket2u.com.my/elite mulai Khamis, 26 Jun 2025 pukul 2 petang.
* Artikel asal disiarkan di Gempak.com


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami