HIBURAN
Elite Live'25 bukti 'mak-mak' masih lincah di pentas

Dengan nyanyian bersahaja, gerak tari lincah serta keserasian semula jadi antara mereka, Elite membuktikan pesona tersendiri yang kekal memikat peminat lama ataupun generasi baharu.
KUALA LUMPUR: Hampir tiga dekad selepas mencetuskan fenomena sebagai kumpulan wanita paling ikonik era 1990-an, Elite membuktikan mereka masih berbisa apabila tampil penuh bertenaga dalam Konsert Elite Live'25 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam Sabtu lepas.
Lebih 2,000 peminat memenuhi dewan, bersorak riuh menyaksikan Azza Zawari, Sasha Saidin, Abby Abadi, Linda Rafar dan Watie Sadali kembali bersatu sebagai lima ahli asal, menggegarkan pentas dengan persembahan bertenaga.
Dengan nyanyian bersahaja, gerak tari lincah serta keserasian semula jadi antara mereka, Elite membuktikan pesona tersendiri yang kekal memikat peminat lama ataupun generasi baharu.
Membuka tirai persembahan dengan rangkaian lagu La Diva, Merbahaya dan Aku Siapa Kau Di Apa, kumpulan itu pantas memanaskan suasana sebelum Linda menyapa penonton dengan ucapan "Apa khabar Malaysia", disambut sorakan gemuruh peminat.Watie pula sempat bergurau bahawa tiga lagu pertama sahaja sudah cukup membuat mereka "semput", namun Abby yang kurang sihat tetap menggagahkan diri di pentas, menzahirkan komitmen luar biasa demi peminat.
Watie yang juga isteri kepada pelawak popular Joey Daud turut menyifatkan konsert berkenaan sebagai impian lama yang akhirnya tertunai, malah tidak menyangka masih berpeluang menjayakan persembahan berskala besar.
"Terima kasih kerana terus menyokong kami, ada yang datang dari Singapura dan Brunei, kami sangat menghargainya. Selepas lebih 20 tahun tidak bersama, akhirnya tercapai juga impian kami untuk kembali bergabung.
"Semua orang tahu kami sibuk dengan kehidupan masing-masing, Shasha kini menetap di Dubai, Azza dengan bisnes kek, Linda bersama keluarga manakala Abby aktif berniaga di TikTok menerusi siaran langsung setiap pagi. Jadi bila malam ini kami kembali bersatu di pentas, perasaan itu memang luar biasa," seloroh Watie.
Gelagat bersahaja dengan usikan spontan antara mereka seperti "mak-mak" sedang bergosip, membuatkan penonton tidak kering gusi berselang-seli dengan sorakan.
Bagi menghangatkan lagi suasana, Elite mendendangkan sebanyak 15 lagu termasuk lagu-lagu malar segar kumpulan tersebut seperti G.I.G, Trauma, Tamparan Wanita dan Bila, meleraikan kerinduan peminat.
Tidak terhenti di situ, pentas tambah hangat dengan kemunculan X-Factor yang tampil lebih segak membawakan lagu Bertuah dan 7251364, meningkatkan lagi keterujaan penonton malam itu.
Konsert itu juga menyingkap memori lama apabila Elite mendendangkan lagu Catwalk daripada album pertama mereka, selain Selamat Tinggal Teman yang pernah dirakam sebelum Abby mengundurkan diri daripada kumpulan tersebut pada 1999.
Konsert ditutup dengan lagu Manisnya Senyumanmu, mengimbau kembali kegemilangan mereka sebagai antara kumpulan wanita paling berpengaruh era 1990-an.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami