ERA cari bakat baharu, peluang anda jadi penyampai!

ERA melancarkan inisiatif Pencarian Bakat Baharu Penyampai ERA bagi membuka peluang kepada generasi muda menyertai dunia penyiaran radio.
ERA - stesen radio nombor satu di Malaysia melancarkan inisiatif Pencarian Bakat Baharu Penyampai ERA bagi membuka peluang kepada generasi muda menyertai dunia penyiaran radio.
Menurut Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin, pencarian ini bukan sekadar pertandingan, sebaliknya merupakan usaha berterusan untuk memastikan kesinambungan delegasi penyampai radio ERA agar kekal relevan dan diminati oleh pelbagai lapisan pendengar.
“Penyampai radio bukan hanya menyampaikan lagu atau berita, mereka adalah suara yang menemani pendengar setiap hari. Kami mahu tenaga baharu yang memahami kehendak semasa dan mampu berinteraksi secara autentik serta berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penyertaan terbuka kepada individu berumur antara 18 hingga 30 tahun, dan peserta dikehendaki menghantar video pendek berdurasi tidak melebihi satu minit yang menunjukkan kebolehan mereka sebagai penyampai radio.Video tersebut perlu dimuat naik ke Instagram dan TikTok dengan menggunakan tanda pagar #penyampaibaruERA serta tag akaun ERA.Jer.
Akaun media sosial peserta juga perlu ditetapkan kepada umum.
ERA turut merancang untuk mengadakan sesi ujibakat luar studio di beberapa lokasi terpilih yang akan diumumkan menerusi platform media sosial rasmi ERA bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak dapat hadir ke studio.
Kali terakhir sesi ujibakat seumpama ini diadakan adalah pada tahun 2019, yang telah melahirkan penyampai berbakat seperti Radin (2014) dan Munabella (2019), kini antara suara penting dalam dunia penyiaran radio tempatan.
Pemenang tempat pertama akan menerima wang tunai RM3,000 serta kontrak sebagai penyampai ERA selama setahun, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM2,000 dan RM1,000. Tempat keempat dan kelima pula akan menerima RM500 setiap seorang.
Majlis khas bagi mengumumkan pemenang dijadualkan berlangsung bulan depan dan dijangka menjadi acara meriah yang dinanti-nantikan oleh peminat ERA serta industri penyiaran secara amnya.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen ERA untuk terus berkembang dan menyesuaikan diri dengan perubahan trend media serta kehendak pendengar.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti ERA di semua platform media sosial rasmi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami