KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah di atas kejayaan filem "Tiger Stripes" merangkul anugerah utama pada Minggu Kritik Festival Filem Cannes.

"Tahniah filem Tiger Stripes mencipta sejarah, filem arahan anak Malaysia pertama yang merangkul anugerah utama pada Minggu Kritik Festival Filem Cannes.

Semoga kejayaan ini menjadi sumber inspirasi buat rakyat Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebook, di sini hari ini.

"Tiger Stripes" merupakan filem arahan anak Malaysia, Amanda Nell Eu yang mengisahkan tentang seorang remaja perempuan berusia 12 tahun yang mengalami tekanan dan perubahan drastik sewaktu mencapai usia akil baligh.

Filem terbitan syarikat Ghost Grrrl Pictures arahan Eu itu dibintangi pelakon terkenal tanah air Shaheizy Sam dan pelakon baharu Zafreen Zairizal dan Deena Ezral dan artis veteran seperti Fatimah Abu Bakar.

Kejayaan itu membolehkan Eu membawa pulang wang tunai EURO10,000 bersamaan hampir RM50,000 bagi edisi ke-62 festival itu.

-- BERNAMA