PELAKON dan pengarah filem "Tiada Tajuk", Mawi mendedahkan terdapat beberapa babak dalam filem itu merupakan pengalamannya ketika menjadi fenomena Tsumawi selepas menjuarai program Akademi Fantasia pada tahun 2005.

Mawi juga menjelaskan babak-babak di dalam filem itu juga tidak memerli mana-mana pihak.

“Ya ada beberapa babak itu memang kisah dan pengalaman saya sendiri yang dilalui suatu ketika dahulu.

“Sebagai contoh babak ketika balik kampung, memang scene tarik-menarik itu berlaku cuma pada waktu itu peminat tarik topi dan baju saya.

“Jadi daripada pengalaman itulah saya bawa masuk ke dalam filem 'Tiada Tajuk' ini. Memang budak-budak sekarang rasa benda itu tak logik tapi babak itu pernah berlaku 14 tahun dahulu, tahun 2005.

“Sebenarnya cerita ini lebih kepada rekaan sahaja dan tidak ada langsung unsur-unsur memerli mana-mana pihak,” jelasnya.

Selain Mawi, filem ini juga turut dibintangi oleh Hazama, Along Cham dan Joey Daud.

Filem "Tiada Tajuk" juga sudah mula ditayangkan di 100 pawagam sejak 4 April lalu.