Penyanyi lagu hits Menahan Rindu, Wany Hasrita merayu agar namanya tidak lagi digosipkan bercinta dengan rakan duetnya, Tajul.

Kata Wany, hubungan mereka sekadar dalam skala profesional sebagai kenalan artis dan rakan duet lagu, Di Sana Cinta Di Sini Rindu semata-mata.

"Saya tak rimas cuma rasanya tidak berapa elok untuk gosipkan saya bercinta dengan Tajul dan ia tidak sesuai dengan penampilan saya sebenarnya.

"Saya pun kasihankan ibu saya yang turut terkena tempias dengan gosip-gosip cinta sebegini.

"Secara tidak langsung cerita gosip ini membuatkan ibu saya kurang selesa," katanya kepada Astro Gempak.

Wany dalam perkembangan lain tercalon menerusi lagu solo Menahan Rindu dan duetnya bersama Tajul, Di Sana Cinta Di Sini Rindu untuk Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 yang akan berlangsung pada 5 dan 12 November ini.

Sebanyak 30 lagu layak ke peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 yang akan berentap di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.