PENGURUS penyanyi Zamani, Aalan Ahmad memberi penjelasan mengenai isu yang timbul di sebalik status yang dimuat naik oleh bekas pengurus Zamani, Johan Aziz di laman Facebook.

Menurut Alan, status yang mengatakan Zamani mahu menarik diri dari Gegar Vaganza musim kelima (GV5) namun perkara terbabit tidak diendahkan oleh pihak produksi adalah tidak benar.



Tambah Aalan lagi, isu tarik diri itu pernah timbul sebelum bermulanya konsert GV5 namun Zamani sudah bersetuju dengan pihak Astro untuk menerima tawaran menjadi peserta program realiti tersebut.

BACA: 'Aku pandang kau, kau pandang aku' - Jihan Muse terkedu lihat Zamani

BACA: Peminat kongsi video, bukti kemampuan alunan suara Zamani

BACA: 'Kami tak paksa Zamani menyanyi, tapi...' - Ramli MS Jelas situasi sebenar


"Saya ingin jelaskan bahawa kenyataan Johan yang mengatakan Zamani ingin menarik diri tetapi pihak produksi tidak ambil peduli itu sememangnya tidak benar.

"Zamani tidak pernah keluarkan kenyataan ingin menarik diri. Tapi memang isu itu sudah lama timbul sejak sebelum konsert bermula lagi.

"Sebelum Zamani setuju nak sertai GV5, dia sudah beberapa kali berjumpa dengan pihak Astro dan berbincang. Jadi tiada pun isu tarik diri itu," kata Aalan.

Aalan juga mengesahkan dia kini menguruskan Zamani dan bukan lagi Johan.


Dalam pada itu, Alan menjelaskan yang Zamani masih mempertimbangkan peluang yang diberikan pihak Astro untuk dia meneruskan persembahan pada konsert GV5 minggu hadapan.

Mereka belum membuat keputusan muktamad untuk menerima tawaran imuniti kerana ingin melihat keadaan penyanyi itu dalam masa beberapa hari lagi.

"Buat masa sekarang ini, Zamani masih dalam proses berehat. Dia masih belum buat keputusan sama ada mahu menerima tawaran imuniti itu atau tidak.

"Jadi, ada kemungkinan dia tarik diri atau mungkin meneruskan persembahan. Bergantung pada keadaan kesihatannya dalam beberapa hari ini.

"Pada hari konsert, lebih kurang jam 3.30 petang ketika Zamani sampai di dewan, dia masih lagi okey tapi secara tiba-tiba petang ketika sesi latihan, suara dia semakin hilang.

"Tapi memikirkan tidak mahu ada salah faham berlaku sekiranya tak muncul di pentas, dia gagahkan diri untuk teruskan persembahan biarpun ketika itu suaranya sudah tiada.

"Dia tak nak orang kata bukan-bukan kalau tak buat persembahan. Tidak ada niat untuk malukan diri atau meminta simpati daripada mana-mana pihak," katanya kepada mStar.

Konsert GV5 menyaksikan Zamani berada di tangga tercorot dengan markah kosong daripada semua juri apabila gagal menyanyikan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta dendangan asal The Flybaits.

Bagaimanapun, Datuk Seri Aliff Syukri selaku penaja bertindak pantas menyelamatkan Zamani daripada penyingkiran dengan menggunakan kuasa imunitinya.

Lagu yang bakal dinyanyikan Zamani pula akan diumumkan oleh tenaga produksi dalam tempoh terdekat.

Bersiaran selama lapan minggu, GV5 boleh ditayangkankan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.

Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5. - Sumber: mStar Online