JOHOR BAHRU: Keadaan pelawak yang juga anggota kumpulan Senario, Hamdan atau nama sebenarnya Ahmad Hamdan Mohamed Ramli, 55, dilaporkan menunjukkan perkembangan positif apabila mampu menggerakkan mata dan bibir.

Perkara itu dinyatakan isterinya, Norhamalini Ahmed, 54, ketika melawat Hamdan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada petang Isnin.

“Semalam (Isnin), saya ada melawat. Saya bisik kat telinga dia, ada respons. Gerak mata, gerak bibir, nak cakap...kita tak tahu, Alhamdulillah.

“Doktor cakap dos ubat tidur dia dah berkurangan, kalau okey hari ni (Selasa), doktor tak tambah dos ubat.

“Insya-Allah, saya rasa boleh sedar, mohon doa semua untuk Hamdan,” katanya pada Selasa.

Untuk rekod, Hamdan dikejarkan ke HSA pada Ahad setelah dilaporkan demam dan terjatuh.

Malah, keadaan Hamdan dilaporkan kritikal hingga terpaksa ditidurkan pada Isnin selepas terdapat jangkitan kuman di dalam darahnya.

Difahamkan, Hamdan berada di Johor Bahru bagi membuat persembahan sempena program Wonderful Night with Senariounion di sebuah hotel terkemuka di sini, bersama anggota-anggota Senario lain seperti Azlee, Wahid, Yassin, Saiful Apek dan Ilya. - Sinar Harian