ENTERTAINMENT
Hampir 30 tahun kumpul kekuatan, Joey Daud kembali dengan 'Wamwamsam'

Joey Daud kembali ke industri muzik tanah air selepas hampir 30 tahun dengan single baharu berjudul 'Wamwamsam'. -Youtube Luncai Emas
KUALA LUMPUR: Hampir 30 tahun tidak menghasilkan lagu, pelakon, pelawak dan penyanyi Joey Daud kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan single terbaharunya bertajuk 'Wamwamsam'.
Ringkasan AI
- Joey Daud kembali ke industri muzik tanah air selepas hampir 30 tahun dengan single baharu berjudul 'Wamwamsam' yang bertemakan pendidikan, jati diri, dan mesej sosial melalui pendekatan komedi pop rock eksperimental.
- Beliau mengakui mengalami trauma akibat dua albumnya sebelum ini diharamkan, namun kembali selepas dipujuk oleh Datuk M. Nasir dan isterinya, Watie Sadali, yang menjadi pendorong utama kemunculan semula ini.
- Lagu ini dihasilkan bersama dua komposer muda, Ilham dan Hidayat Nasir, serta menampilkan segmen rap oleh A.D dari Isobahtos, manakala video muziknya yang berkonsep sinematik turut menjadi teaser kepada filem 'Daud M Origin' yang bakal memulakan penggambaran hujung tahun ini.
Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud, 52, berkata bukan mudah untuk beliau mengeluarkan single terbaharu itu selepas mengalami trauma akibat dua albumnya sebelum ini diharamkan.
"Saya ambil masa 30 untuk melawan trauma itu dan untuk melancarkan lagu ini, saya rasa nervous yang tidak terkata. Tidak tahulah pendengar boleh terima atau tidak sebab usia pun sudah macam pokok (tua).
"Kalau lagu ini tidak dapat sambutan, mungkin ini yang terakhir saya merakamkan suara sebab fobia 90-an itu masih ada," katanya kepada pemberita selepas pelancaran single itu, di sini semalam.
Joey merupakan artis rakaman pertama Luncai Emas Sdn Bhd pada 1994, kembali berkolaborasi dengan label tersebut bagi merealisasikan projek berkenaan.
Katanya beliau membuat kemunculan semula dan menghasilkan single terbaharu itu selepas "tewas" dengan pujukan Datuk M. Nasir serta isterinya sendiri Watie Sadali yang tidak jemu-jemu memujuknya.
"Setiap kali jumpa Datuk (M. Nasir) dia akan pujuk saya balik, ayat dia, 'keluar balik', 'nyanyi', itulah yang sering diulangnya.
"Selepas bincang bersama isteri yang merupakan tulang belakang saya, yang selalu memujuk untuk kembali, akhirnya hari ini saya kembali," katanya.
Mengulas karya terbaharunya itu, Joey berkata lagu tersebut bukan sekadar kata-kata tetapi panduan hidup yang diasaskan pada pengalaman, pemerhatian sosial dan kenangan lama.
Single berkenaan mendapat sentuhan kolaborasi dua komposer muda, iaitu Ilham Nasir dan Hidayat Nasir, selain turut menampilkan segmen rap khas oleh A.D, ahli kumpulan hip hop Isobahtos.
Serentak dengan pelancaran single itu, video muzik rasmi 'Wamwamsam' juga diperkenalkan. Berkonsep sinematik ala filem pendek yang diarahkan oleh Amen Khalid, video muzik itu juga bakal menjadi cuitan (teaser) filem Daud M Origin yang akan memulakan penggambaran hujung tahun ini.
Video muzik lagu tersebut boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami