KUALA LUMPUR: Sebagai sebuah jenama yang cukup dekat di hati rakyat Malaysia, KFC meraikan kejayaan ulang tahun ke-50 dengan penganjuran konsert KEPCI Music Fest di Shah Alam pada Sabtu.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan QSR Brands (M) Holdings Bhd, Vijayaratnam Tharumartnam memaklumkan acara ini merupakan malam penghargaan buat pelanggan di Malaysia yang tidak pernah jemu mencipta memori bersama jenama ayam KFC.

“Selepas lima dekad, KFC macam jenama Malaysia dan acara ini amat penting bagi kami. Kami mahu berkongsi dan meraikan tanda penghargaan buat seluruh penggemar KFC atas sokongan berterusan selama 50 tahun.

“KFC merupakan jenama yang sudah sebati di Malaysia. Tidak kira Sabah hingga ke Perlis semua orang ada ‘moment’ dengan KFC, the KFC experience is multigenerational.

“Setiap rakyat Malaysia mempunya cerita KFC tersendiri. Mungkin hari jadi mungkin sambutan apabila mendapat keputusan yang bagus atau menang dalam bersukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui di Konsert Kepci Music Fest yang berlangsung pada malam Sabtu di Stadium Malawati.

Kredit: Astro AWANI

KEPCI Music Fest turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang disambut meriah lebih 8,500 hadirin di festival itu.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Pengerusi QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brand), Tan Sri Jamaludin Ibrahim; serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brand, Nehchal Khanna.

Dalam pada itu, Vijayaratnam memaklumkan konsert KEPCI Music Fest merupakan sambutan dinamik untuk mempamerkan mozek budaya Malaysia serta menyatukan persabahatan dalam masyarakat.

Memang tidak dinafikan saya membesar makan, ada pengalaman dan memori membesar bersama KFC.

Bagi penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, beliau turut berkongsi momen istimewa bersama KFC sebelum bergelar selebriti.

“Memang tidak dinafikan saya membesar makan, ada pengalaman dan memori membesar bersama KFC. Pengalaman saya sendiri, saya berpeluang menikmati ayam goreng KFC dua tahun sebelum saya bergelar penyanyi.

“Ini kerana waktu itu abang, (Ayie) mula menetap di Kuala Lumpur memandangkan sudah jadi artis. Atas sebab itu saya berpeluang sebab abang di Kuala Lumpur.

"Selalu saya tengok di TV sahaja, nampak iklan rasa terliur jadi saya kata jom ke restoran KFC. Itulah momen terindah yang saya tidak boleh lupa,” katanya yang lebih gemar dengan pilihan ayam goreng spicy.

Sementara itu, KEPCI Music Fest bakal meneruskan acara di dua buah lagi lokasi iaitu di KDCA Sabah pada 6 Oktober dan Arena Larkin, Johor Bahru pada 21 Oktober 2023.