HARNAAZ SANDHU dari India dinobatkan sebagai Miss Universe ke-70 pada Ahad, mendahului kira-kira 80 peserta dalam pertandingan yang terpalit dengan isu politik dan pandemik COVID-19 itu.

Andrea Meza dari Mexico yang memegang mahkota itu sebelum ini, menobatkan penggantinya, seorang pelakon Bollywood, dalam malam kemuncak di bandar peranginan Laut Merah Israel, Eilat.

Pertandingan itu diadakan pada tengah malam dan berakhir sekitar jam 5 pagi waktu tempatan demi memenuhi siaran waktu utama di Amerika Syarikat.

Pelakon Bollywood, Harnaaz Sandhu dinobat sebagai Miss Universe ke-70. - Foto REUTERS

Acara tahunan antarabangsa itu turut mempamerkan elemen tradisional dan pakaian kebangsaan, pakaian renang selain satu siri soalan temu duga untuk menguji kemahiran pengucapan awam peserta.

Namun, pertandingan itu turut menarik perhatian antarabangsa dalam beberapa minggu kebelakangan ini atas sebab-sebab lain.

Negara serta kumpulan pro-Palestin telah menggesa peserta untuk tidak menyertai acara atas dasar membantah layanan Israel terhadap rakyat Palestin.

Malaysia, sebuah negara majoriti Islam yang mempunyai hubungan rapat dengan rakyat Palestin mengambil keputusan untuk tidak menghantar wakil.