KUALA LUMPUR: Selepas disahkan menghidap penyakit demensia, keluarga Bruce Willis bertekad untuk “memastikan pelakon itu terus aktif”.

Memetik CNA Lifestyle, pelakon berusia 67 tahun itu turut mendapat sokongan ahli keluarga termasuk isteri Emma Heming Willis dan bekas isterinya Demi Moore yang mahu memastikan dia menjalani kehidupan sebaik mungkin.

Menurut sumber, tumpuan utama adalah untuk memastikan Bruce terus aktif.

“Dia mempunyai jadual yang padat dengan aktiviti setiap hari. Mereka memastikan badan dan otaknya bersenam,” kata sumber.

Malah usaha ini turut mendapat sokongan anak-anaknya, Mabel, 10, Evelyn, 8, hasil perkahwinan dengan Heming Willis serta Rumer, 34, Scout, 31, dan Tallulah, 29 hasil perkahwinan dengan Moore.

Isterinya, Heming Willis yakin bahawa kesemua anaknya dapat memiliki kenangan indah mengenai bapa mereka. 

“Keluarga semakin rapat berbanding sebelum ini. Dia mahu mereka mengingati Bruce sebagai ayah yang mengagumkan dan menyeronokkan. Dia mahu mereka mempunyai kenangan terbaik tentangnya,” kata sumber kepada People.

Keluarga Willis mendedahkan berita mengenai diagnosis demensianya awal bulan ini.

Dalam sebuah kenyataan, mereka mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas curahan kasih sayang dan belas kasihan kepada Bruce sejak sepuluh bulan yang lalu.

“Semangat anda amat menggalakkan dan kami amat berterima kasih atas kebaikan anda, kerana kami tahu anda menyayangi Bruce.

“Sejak kami mengumumkan Bruce didiagnosis afasia pada musim bunga 2022, keadaan atau lebih spesifik dia menghidap demensia frontotemporal (dikenali sebagai FTD). Malangnya, cabaran berkomunikasi hanyalah satu gejala penyakit dihadapi Bruce.

"Walaupun ini menyakitkan, namun ia satu kelegaan kerana akhirnya mengetahui diagnosis yang jelas,” kata wakil keluarga.