HIBURAN
Hubungan Jimin BTS, Da-eun sudah lama berakhir - Pengurusan BIGHIT

Penjelasan dibuat susulan spekulasi mengenai percintaan anggota BTS, Jimin (kiri) dengan pelakon Song Da-eun yang menjadi buah mulut minggu lalu.
BIGHIT Music, agensi yang mewakili sensasi K-pop BTS, mengesahkan anggota kumpulan tersebut, Jimin sebelum ini pernah menjalin hubungan dengan pelakon Song Da-eun, tetapi ia sudah lama berakhir.
Penjelasan itu dibuat susulan spekulasi mengenai percintaan mereka menjadi buah mulut minggu lalu apabila Song memuat naik video di media sosial yang memaparkan pertemuan dengan Jimin.
"Mereka berdua pernah menjalinkan hubungan cinta, tetapi ia berlaku beberapa tahun yang lalu dan hubungan itu sudah lama berakhir," kata agensi itu dalam kenyataan rasmi pada Ahad.
Agensi itu menjelaskan mereka sebelum ini tidak mengulas mengenai kehidupan peribadi Jimin kerana menghormati semua pihak yang terlibat.Walau bagaimanapun, syarikat itu menyatakan mereka terpaksa menangani khabar angin palsu yang mengelilingi urusan peribadi artis terbabit, menggesa peminat dan orang ramai untuk mengelakkan spekulasi mengenai hubungan peribadi Jimin.
Kenyataan itu merupakan pengesahan rasmi yang jarang berlaku mengenai kehidupan peribadi anggota kumpulan berkenaan. Dalam industri K-pop, di mana hubungan cinta secara terbuka sering dianggap sebagai larangan besar, artis menghadapi cabaran dalam mengekalkan privasi di bawah perhatian awam dan media yang berterusan.
BTS dijangka akan mengeluarkan album baharu pada musim bunga depan, selepas melalui tempoh rehat yang lama susulan komitmen dengan perkhidmatan ketenteraan wajib di Korea Selatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami