Tonggak utama filem aksi fiksyen sains The Terminator, Arnold Schwarzenegger berkata beliau tertarik dengan keramahan masyarakat di negara ini dan akan kembali ke Malaysia.

Pertama kali menjejak kaki ke negara ini, artis Hollywood itu berkata beliau teruja dengan kemesraan masyarakat walaupun belum berkesempatan melawat kebanyakan tempat di negara ini.

"Biarpun saya belum sempat melawat kebanyakan tempat di sini, tetapi apa yang saya dapat lihat adalah masyarakat sini sangat ramah dan saya rasa sungguh teruja."

"I'll be back (saya akan kembali)," kata Schwarzenegger yang juga bekas Gabenor California dalam sesi ceramah 'Disiplin Dalam Tindakan' sempena Forum Transformasi Global 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Dalam sesi berkenaan Schwarzenegger yang mengabadikan ungkapan "I'll be back" dalam siri Blockbuster aksi sains fiksyen, 'The Terminator' itu, berkongsi kisah tentang transformasi yang berlaku sepanjang kerjaya beliau.

Schwarzenegger atau lebih dikenali sebagai Arnie yang memulakan kerjayanya sebagai ahli bina badan seawal usia 15 tahun, berkata biarpun berdepan pelbagai cabaran dan kritikan namun ia tidak pernah menghalang impiannya untuk berjaya dalam setiap bidang diceburi.

Prinsip yang diamalkan anak kelahiran Austria itu termasuk kepentingan berwawasan, miliki impian besar, tidak gentar untuk gagal dan berusaha keras telah mendorongnya berjaya sehingga bergelar jaguh bina badan, bintang filem, ahli perniagaan dan juga gabenor.

"Saya tidak pernah hiraukan kritikan terhadap saya. Bermula apabila saya hendak menceburi bidang bina badan, mereka kata saya gila, tidak mungkin saya akan berjaya kerana ia sukan Amerika."

"Kemudian apabila saya ingin menceburi industri perfileman, semua ejen dan eksekutif studio yang ditemui berkata badan saya terlalu besar, atau loghat saya tidak sesuai untuk bidang lakonan," katanya.

Namun ia tidak pernah mematahkan semangatnya.

Hasil gigih memperbaiki dirinya termasuk mengambil kelas lakonan dan kelas bahasa Inggeris, akhirnya Arnie berpeluang menceburi dunia lakonan menerusi filem pertamanya, Hercules In New York (1970).

Namun, hasil lakonannya menerusi Conan The Barbarian (1982) yang menaikkan nama Arnie sehingga membuatkan dirinya menjadi pilihan utama watak bagi membintangi filem Terminator (1984).

"Apa yang menarik selepas saya berlakon dalam filem Conan, pengarahnya John Milius berkata, 'Jika tiada Schwarzenegger, mungkin mereka terpaksa membina hero bertubuh sasa itu kerana ototnya dan sayalah satu-satunya orang yang boleh memainkan watak tersebut.'

"Sama juga pengarah The Terminator, James Cameron berkata 'jika Schwarzenegger tidak bercakap seperti mesin, mungkin filem tersebut tidak begitu berjaya,' Jadi apa yang pengkritik ungkapkan sebelum ini merupakan liabiliti kini menjadi aset," ujar Arnie kepada kira-kira 3,000 hadirin sesi forum itu.

Ditanya moderator, iaitu wartawan dan personaliti TV, Lorraine Hahn, tentang kemunculan Arnie menggantikan Donald Trump sebagai hos rancangan dalam siri popular The Apprentice, beliau menjawab tidak sabar untuk terlibat dalam program itu bermula Februari tahun hadapan.

Sekiranya, ungkapan You're Fired sering digunakan Trump untuk membuang peserta rancangan berkenaan, kata Arnie, kali ini ia mungkin sedikit berbeza.

"Mungkinkah ia akan menjadi 'Hasta La Vista, Baby', 'You're Terminated' atau 'You Won't Be Back'," katanya sambil tertawa.