Mungkin anda dalam kalangan kita yang membesar sekitar tahun 90-an cukup akrab dengan filem animasi Disney, The Little Mermaid. Sebuah kisah dongeng yang mengangkat kecintaan si duyung bernama Ariel terhadap kehidupan manusia di darat.

Tidak hanya penceritaan dan plotnya, lagu-lagu yang didendangkan dalam filem animasi arahan John Musker dan Ron Clements itu turut menjadi kegemaran para penonton.

Justeru, apabila Disney mengumumkan berita adaptasi filem animasi ikonik berkenaan ke layar perak sebagai sebagai naskhah live action, ramai yang menzahirkan rasa tidak sabar untuk menonton, terutama selepas pihak produksi menamakan Halle Bailey sebagai teraju utama yang membawakan watak Ariel.

Berkesempatan menonton The Little Mermaid live-action pada sesi tontonan awal bersama media baru-baru ini, banyak hal menarik yang perlu disaksikan oleh penonton, khususnya mereka yang pernah menyaksikan naskhah animasi sebelum ini.


1. Vokal luar biasa

Pengarah Little Mermaid, Rob Marshall pernah memberitahu yang Halle dipilih untuk menjayakan watak Ariel disebabkan oleh suaranya. Terbukti, lagu-lagu yang dialunkan oleh Halle, terutama Part Of The World kedengaran syahdu, sesuai dengan lakonannya.


2. Selari dengan plot asal

Hampir 95 peratus jalan cerita The Little Mermaid live-action sama dengan plot asal, sekaligus mengimbau kembali momen menonton naskhah animasinya yang bersifat malar segar.

Begitupun, ada penambahan plot baharu yang sedikit sebanyak dapat memberikan nafas berbeza seterusnya membuatkan penonton keluar panggung dengan pengalaman baharu.


3. CGI
Situasi dalam laut yang dipaparkan dalam The Little Mermaid tentu sekali memerlukan efek kesan khas CGI. Jika dinilai secara keseluruhan, efek CGI dalam naskhah ini boleh dikategorikan sebagai baik dan menepati keperluan jalan ceritanya.

Babak akhir yang memaparkan Ursula lakonan Melissa McCarthy juga harus dipuji kerana berjaya digarap mengikut plot asal.


4. Kasih sayang

Selain percintaan antara Ariel dan Putera Eric, lakonan Jonah Hauer-King, naskhah ini juga mempertaruhkan kisah kasih sayang anak beranak, dan juga sahabat. Hal kasih sayang ini dapat disaksikan sepanjang filem ini.

Selain Halle, Jonah dan Melissa, The Little Mermaid turut dibintangi oleh Daveed Diggs, Awkwafina, Jacob Tremblay, Noma Dumezweni, Art Malik dan Javier Bardem.

Little Mermaid ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia bermula 25 Mei 2023 ini. - Gempak