PENYANYI balada terkenal Britain, Engelbert Humperdinck, yang dijangkiti COVID-19, meminta peminat agar mendoakan kesihatan isterinya yang turut dijangkiti virus berkenaan.

Lebih memilukan, isterinya juga menghidap penyakit Alzheimer.

"Saya tidak mampu untuk mengatakan saya sudah cukup kuat untuk menghadapi semua ini.

"Saya tidak tahu apa yang saya perlu katakan tetapi saya tahu saya perlu yakin," katanya menerusi satu video di Instagram.

"Saya tahu saya akan kembali sihat tetapi saya memerlukan keajaiban untuk isteri kesayangan saya.

"Alzheimer dan COVID-19 meletakkan dirinya dalam situasi di mana dia sangat memerlukan kata-kata semangat, doa dan kasih sayang anda," katanya lagi.

Humperdinck turut memaklumkan dia dan isteri sentiasa mendoakan orang lain sebelum masing-masing dijangkiti virus berkenaan.

"Tetapi walau apa pun, saya sangat bersyukur kerana saya dapat bersama isteri pada waktu genting ini," ujarnya.

Humperdinck cukup popular sekitar tahun 60an dan 70an dengan lagu-lagu seperti Spanish Eyes, Release Me dan The Last Waltz, mengahwini isterinya, Patricia Healey pada 1964.

Mereka dikurniakan empat cahaya mata, sebelum Patricia disahkan menghidap Alzheimer pada 2007.