SELEPAS tiga minggu bersalin, pelawak dan pengacara popular Jihan Muse akhirnya memperkenalkan anak keduanya kepada umum.

Berita gembira tersebut dikongsikannya selepas memuat naik semula kemas kini suaminya Ungku Haris.

Dalam entri berkenaan Ungku Haris memuat naik fotonya bersama bayinya yang diberi nama Ungku Altamis Barr.

“Izinkan saya perkenalkan putera kedua kami yang diberi nama Ungku Altamis Barr Ungku Faizal Haris,” umumnya.

Dalam pada itu, mereka turut memohon agar anaknya mendapat perlindungan Allah dengan berkongsi potongan doa dari ayat al-Quran

“Aku berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna dari setiap syaitan dan binatang melata, dan dari setiap mata jahat yang hasad,” maksud doa berkenaan.

Sebelum ini, pasangan itu hanya dilaporkan media menimang cahaya mata kedua seepas memuat naik semula ucapan tahniah dari rakan terdekat di IG Story pada 8 September lalu.

Ketika itu biarpun belum membuat pengumuman rasmi berhubung kehadiran ‘orang baharu’, muat naik semula yang dilakukan itu secara tidak langsung mengesahkan khabar gembira.

Sebelum ini Jihan mendedahkan dia hanya tahu dirinya berbadan dua selepas melakukan ujian calitan COVID-19 sebagai prosedur menjadi pengacara Anugerah Meletop Era 2021 (AME2021) yang sepatutnya berlangsung pada Januari lalu.

Jihan juga tidak mengendalikan Gegar Vaganza musim ke sembilan bersama teman gandingan, Nabil Ahmad yang akan bermula pada 18 September ini.

Tempatnya itu digantikan pelakon dan penyanyi, Elly Mazlein.

Perkahwinan selebriti berusia 39 tahun dan Ungku Hariz yang dibina pada 2016 terlebih dulu diserikan seorang putera, Ungku Arsalan Haq, 4 tahun. -Gempak