BINTANG utama filem Joker, Joaquin Phoenix ditahan polis kerana menyertai protes perubahan iklim yang dianjurkan pelakon dan aktivis bersayap kiri Jane Fonda di Washington pada Jumaat.

Phoenix dilapor ditahan selepas membuat ucapan kepada penunjuk perasaan yang mendesak orang ramai mengubah tabiat pemakanan bagi menyelamatkan bumi daripada kemusnahan lebih teruk.

"Industri daging dan tenusu merupakan punca utama kepada perubahan iklim dan saya tertanya-tanya apa lagi yang boleh dilakukan untuk memperjuangkan perubahan iklim.

"Ada sesuatu yang boleh anda lakukan hari ini, sekarang, dan esok iaitu dengan membuat pilihan terhadap apa yang anda makan,” katanya.

Pada masa sama, Phoenix mengakui tindakannya menaiki pesawat untuk ke Washington bagi menyertai protes pada Jumaat adalah satu kesalahan, namun, ia tidak dapat dielakkan.

"Ia tidak boleh dielakkan. Saya terpaksa terbang menaiki pesawat untuk ke sini hari ini, tetapi perubahan yang anda boleh lakukan adalah ubah cara pemakanan.

“Mari sertai saya dan Jane. Terima kasih banyak untuk peluang ini,” katanya.

Phoenix baru-baru ini dinobatkan sebagai Pelakon Filem Lelaki Terbaik kerana selepas berjaya memikat hati juri menerusi watak supervillain ternama di kota fiksyen Gotham City dalam filem "Joker".