KUALA LUMPUR: Baru sahaja memenangi Gegar Vaganza musim lalu, penyanyi Jaclyn Victor sekali lagi diangkat sebagai juara untuk musim All Stars Gegar Vaganza (ASGV).

Bersaing dalam tiga pusingan, Jaclyn memberikan persembahan mantap menerusi lagu When You Believe; Sandarkan Pada Kenangan duet bersama Datuk Jamal Abdilah; dan Kill This Love dalam pusingan battle bersama Tomok, Siti Nordiana dan Liza Hanim.

Berjaya memperoleh 80.10 peratus markah, juri tetap ASGV Datuk Syafinaz Selamat berkata, keputusan untuk mengangkat Jaclyn Victor sebagai juara dibuat sebulat suara juri tetap ASGV.

“Adakah anda semua tahu markah paling besar adalah semasa persembahan solo, manakala dua persembahan seterusnya adalah markah tambahan untuk mereka?

“Sebulat suara daripada semua juri untuk mengangkat Jac sebagai juara kerana kawalan dia untuk lagu When You Believe sangat-sangat bagus.

"Kita tahu lagu itu susah, kerana ia merupakan lagu duet, namun Jaclyn dapat membawanya dengan baik sekali,” katanya pada sidang media konsert akhir ASGV semalam.

Melontarkan pandangan peribadi, ketua juri ASGV Datuk Ramli M.S berpendapat Jaclyn telah memberikan yang terbaik untuk persembahan solonya berbanding tujuh lagi peserta lain.

“Ini pandangan peribadi saya, orang lain (peserta) tak perform. Dia (Jac) stabil, tetapi orang lain tidak perform.

"Tetapi kalau tengok semasa raptai untuk setiap individu, semua orang memberikan yang terbaik. Cuma, malam ini mereka kurang perform berbanding dengan Jac,” ujarnya.

Menerusi kemenangan itu, Jac berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Bukan itu sahaja, Jaclyn juga berjaya membawa pulang pakej percutian ke Switzerland sumbangan Kaki Jalan, pakej penginapan di Royale Chulan Hotel London, dan baucer dekorasi ruangan sumbangan Ritz Reka.

Untuk merebut gelaran juara, Jac bersaing bersama Hady Mirza, Nikki Palikat, Naqiu, Liza Hanim, Tomok, Azharina dan Siti Nordiana.

Konsert akhir ASGV yang dihoskan Nabil Ahmad dan Jihan Muse turut menampilkan Syafinaz, Hetty Koes Endang dan Ramli sebagai juri tetap dan ditemani ratu rock negara, Ella selaku juri jemputan.

Berlangsung selama tiga jam setengah, pentas akhir ASGV menutup tirainya di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam selepas berlangsung di Auditorium MBSA selama 11 minggu.