HIBURAN
'Kaki tersepak besi pun dia tetap teruskan' - Syafiq Yusof kagum semangat juang Aaron Aziz

Syafiq (kiri) menafikan pemilihan Aaron (kanan) di dalam filem Sheriff adalah sebagai inisiatif untuk memujuknya selepas namanya digugurkan daripada membintangi filem The Original Gangster. -Media Hiburan
PENGARAH terkenal, Syafiq Yusof menafikan pemilihan aktor, Datuk Aaron Aziz di dalam filem Sheriff adalah sebagai inisiatif untuk memujuknya selepas namanya digugurkan daripada membintangi filem The Original Gangster arahan, Syamsul Yusof.
Menurut Syafiq, tiada keperluan baginya untuk berbuat sedemikian kerana pemilihan para pelakon dibuat berdasarkan keputusan pihak penerbit.
“Tidak sama sekali. Tiada sebab saya nak pujuk sebab saya tak bergaduh pun dengan dia.
"Cadangan pemilihan barisan pelakon adalah daripada pihak produser iaitu ayah saya“Mereka senaraikan nama-nama pelakon, kemudian, saya pilih mengikut kesesuain watak,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, Syafiq turut memaklumkan masalah kesihatan yang dialami oleh pelakon asal Singapura itu langsung tidak mengganggu kelancaran sepanjang menjalani penggambaran.
“Aaron memang ada masalah sakit di bahagian belakang badan. Namun Alhamdulillah, ia langsung tidak mengganggu penggambaran.
"Sepanjang sesi latihan berlangsung, pihak koreografi pun faham mengenai hal tersebut.
“Sakit belakang Aaron itu tidaklah sampai dia tak boleh bergerak langsung. Cuma ada beberapa pergerakan sahaja yang dia tak boleh buat. Jadi, kita atur pergerakan mengikut kesesuaian dia.
“Sebagai contoh, kalau ada adegan sepak sampai terbaring di bahagian belakang, itu dia tak boleh buat dan kita akan gunakan body double,” kongsinya lagi.

“Walaupun sakit, saya tetap kagum dengan Aaron kerana dia sentiasa berikan 100 peratus ketika bekerja. Baru-baru ini, Aaron ada mengalami kecederaan ketika melakonkan babak sedang berlawan.
“Kaki Aaron sakit sebab tersepak besi tapi dia tetap tak nak hentikan penggambaran. Katanya, kalau hentikan penggambaran, ia akan merugikan waktu orang lain.
"Jadi, dia teruskan juga sebab babak tersebut perlu menampakkan wajahnya ketika berlawan.
“Saya sangat puas hati dengan kualiti babak aksi yang ditunjukkan oleh Aaron. Namun, untuk filem ini, babak aksinya hanya untuk membantu penceritaan.
"Selebihnya, kekuatan filem ini adalah berdasarkan plot ceritanya,” akhirinya.

Aaron bakal melakonkan watak antagonis utama bernama Tony Ifrit.
Filem terbitan Skop Production dan Astro Shaw ini bakal ditayangkan pada 2024. -Media Hiburan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami