KUALA LUMPUR: Karya-karya tempatan yang ditayangkan di platform Astro First sudah terbukti sering mendapat sambutan luar biasa daripada penggemar.

Kebetulan pula, ketika ramai yang memilih untuk menghabiskan masa lapang di rumah, justeru Astro First menjadi pilihan untuk menonton filem-filem di saluran berkenaan.

Justeru, tidak hairanlah kenapa filem komedi, Kampung Latah Kena Kuarantin yang ditayangkan menerusi platform Di Pawagam Rumah Anda, Astro First sejak 9 September lalu mendapat sambutan luar biasa daripada penonton.

Kurang sebulan ditayangkan di saluran itu, Kampung Latah Kena Kuarantin telah berjaya meraih kutipan melebihi RM1 juta.

Naskhah Kampung Latah Kena Kuarantin merupakan filem pertama yang dihasilkan menerusi ‘Dana Program TV/ OTT’ di bawah program Dana Kandungan Digital (DKD) agihan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Pencapaian filem berkenaan sejujurnya disambut dengan penuh kesyukuran oleh penerbitnya, Hazil Izham Ismail dari syarikat produksi Megapine Sdn Bhd.

Kampung Latah Kena Kuarantin yang mencatat kutipan RM1 juta disifatkan Hazil Izham sebagai motivasi untuk dia menggandakan usaha dalam berkarya pada masa depan.

Bertitik tolak pada pencapaian itu juga, Hazil Izham berikrar untuk terus berkarya dan menghasilkan karya-karya yang variasi serta berkualiti.

Lebih utama lagi, jelas Hazil Izham, naskhah berkenaan telah menawarkan kebahagiaan kepada penonton.

"Kami berasa gembira apabila segelintir penonton merasakan filem ini mampu membuatkan mereka menghilangkan tekanan seketika dengan berhibur dengan babak dan aksi yang ditonjolkan oleh barisan pelakon.

“Alhamdulillah, jutaan terima kasih kepada Finas dan Astro di atas peluang yang diberikan menerusi dana Program TV/OTT. Kami juga ingin ucapkan terima kasih kepada mereka yang telah melanggan filem Kampung Latah Kena Kuarantin di Astro First," kata Hazil Izham.

Sementara itu, Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad merakamkan ucapan terima kasih kepada penonton kerana masih meletakkan kepercayaan kepada karya tempatan yang ditayangkan di platform Astro First.

Kata beliau, kejayaan yang diraih filem ini memberi peluang kepada pihaknya lebih memahami cita
rasa penonton, di samping berusaha membawakan pelbagai lagi jalan cerita dan kandungan menarik kepada penonton.

"Lebih mengujakan, filem Kampung Latah Kena Kuarantin merupakan filem pertama yang dihasilkan menerusi ‘Dana Program TV/ OTT’, di bawah program DKD agihan Finas. Ini secara tidak langsung membuktikan usaha pihak Finas dengan kerjasama Astro telah mendorong dalam merancakkan serta menjana ekonomi industri perfileman tempatan,” kata Raja Jastina.

Mengulas pencapaian Kampung Latah Kena Kuarantin juga, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, kejayaan filem pertama hasil daripada ‘Dana Program TV/OTT’ iaitu Kampung Latah Kena Kuarantin menjadi pemangkin kepada nilai tambah pembangunan karya filem tempatan khususnya dalam aspek pengeluaran, pengedaran dan pemameran.

"Kami harap inisiatif strategik oleh Finas dan Astro ini akan terus dapat menyasarkan peluang kepada penerbit dalam menjana pendapatan melalui pemilikan hak cipta yang diberikan kepada mereka, di samping menghasilkan kandungan kreatif untuk dipersembahkan kepada penonton," ujar Ahmad Idham.

Filem terbitan Megapine arahan Azizi Adnan itu mengetengahkan gelagat melatah sebagai subjek kepada latar cerita serta menghimpunkan selebriti berpengaruh dengan tabiat melatah yang tidak pernah disaksikan dalam mana-mana naskhah sebelum ini.

Kampung Latah Kena Kuarantin menampilkan pelakon utama Azhan Rani, Nazia Mustafar, Ieda Moin, PS Mansur dan Din Latah.

Turut menjayakan filem ini ialah Elisya Sandha, Joey Daud, Bell Ngasri, Ropie, Didie Alias, Azlee Senario dan Wanns Ahmad.

Kampung Latah Kena Kuarantin juga menyaksikan penampilan istimewa bintang-bintang tersohor tanah air seperti Datuk Awie sebagai Dukun Palermo, AR Badul (Tok Ketua), Ustaz Syamsul Debat (Bro Aji), Riezman Khuzaimi (YB Hazil), Roy Azman (Pegawai Perubatan), Achong Sweet Child (Opera Cina) dan Mak Wan Latah (Mak Jenab).

Filem komedi ini mengisahkan Kampung Latah Permai, sebuah kampung yang unik dan
menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara kerana ia satu-satunya lokasi di dunia
yang mempunyai kadar penduduk ‘melatah’ yang ramai.

Ajin (Azhan Rani) merupakan ketua pemandu pelancong untuk syarikat Latah Permai Travel & Tours bersama rakan kongsinya, Jamilah (Nazia Mustafar), Eton (Ieda Moin) dan Din (PS Mansur).
Gelagat mereka sering menceriakan penduduk kampung dan juga pelancong.

Dalam pada itu, Ajin menaruh perasaan terhadap Juanita (Elisya Sandha).

Namun, Apoi (Joey Daud) telah dahulu menghantar rombongan meminang Juanita dengan mengikut adat resam dan budaya melayu, namun pinangan Apoi ditolak.

Apoi bersama konconya Abon (Bell Ngasri) dan Anjang (Wanns Ahmad) melakukan sesuatu
kerana tidak berpuas hati.

Selang beberapa hari kemudian, Kampung Latah Permai yang ceria tiba-tiba dilanda sindrom melatah yang tidak terkawal sehingga menimbulkan pelbagai kes merbahaya seperti melatah sehingga koma, meninggal dunia serta terbunuh rakan atau pasangan.

Keadaan kampung semakin membimbangkan dan menjadi isu besar sehingga Ketua Kampung terpaksa membuat mesyuarat tergempar bersama penduduk bagi mencari jalan penyelasaian.

Pelbagai teori dan cara menangani pandemik latah telah dibuat termasuk yang logik dan karut.

Kepada anda yang belum menonton, jangan ketinggalan melanggan Kampung Latah Kena Kuarantin
Di Pawagam Rumah Anda, Astro First.

Untuk melanggan, sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.

Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulangulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.