KUALA LUMPUR : Bangkit dan bersatu! 

Itu mesej yang disampaikan kempen #riseandunite yang antara lain bertujuan untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan serta sinar dalam jiwa rakyat Malaysia.

Matlamat kempen ini juga untuk memupuk rakyat agar bangkit demi membela dan mengejar kejayaan serta bersatu tanpa mengira bangsa.

Bagi Pengasas Kempen Rise and Unite, Mike Manicka, kempen kesedaran ini bukanlah hanya perlu dipupuk sempena bulan kebangsaan sahaja, malah ia perlu disemarakkan sepanjang masa.

Apatah lagi dengan penggunaan medium media sosial ketika ini, yang memudahkan lagi rakyat Malaysia untuk menyemai sifat kebersamaan dalam memahami dan meningkatkan diversiti serta kerhamonian yang lebih baik demi negara tercinta.

“Saya rasa nak memupuk semangat cinta pada negara tidak perlu tunggu Hari Kemerdekaan atau Hari Malaysia sahaja, ia boleh dipupuk sepanjang tahun.

“Bagi saya juga penggunaan media sosial itu juga sangat membantu. Contohnya kalau kita lihat ketika ini, baru sahaja selepas Olimpik dan Paralimpik, orang ramai bersatu di media sosial.

“Jadi saya rasa juga ini adalah masa terbaik untuk promosikan kebersamaan dan bekerjasama tambahan lagi walaupun kita sudah boleh keluar rumah, tetapi masih lagi dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program AWANI Pagi dalam segmen Selebriti Selasa yang membincangkan kempen Rise and Unite.


AWANI Pagi: 31 anak seni bersatu demi satu suara

Menerusi kempen ini, Mike bersama penyanyi, Asmidar  muncul dengan idea dan konsep kreatif menggabungkan 31 anak seni untuk mendedikasikan rasa cinta kepada negara.

Bagi Asmidar, sebagai seorang penyanyi yang juga pempengaruh atau influencer, media sosial perlu digunakan sebaiknya untuk menyebarkan kebaikan kerana ia adalah satu tanggungjawab untuk mempengaruhi orang sekeliling.

“Media sosial bukanlah tempat permainan untuk saya, tetapi saya melihat ia sebagai satu tanggungjawab dan perlu menyampaikan sesuatu yang bermanfaat kepada semua orang yang menonton dan mengikuti kita.

“Sebagai seorang penyanyi dan influencer itu adalah peranan kita untuk memastikan orang sekeliling kita mendapat faedah daripada apa yang kita sampaikan,” ujarnya.

Melalui gabungan bacaan sajak ‘Erti Kemerdekaan’, lagu patriotik ‘Malaysia Tanah Airku’  dan juga bacaan ikrar, video dengan durasi 6 minit 18 saat ini menyuntik semangat patriotik dalam suasana sayu.

Kempen ini juga merupakan satu tanggungjawab sosial sesama anak anak seni dalam terus memupuk rasa cintakan negara melalui pendekatan di media sosial.