KUALA LUMPUR : Pengerusi Star Media Radio Group (SMRG) Berhad, Datuk Mohd Aminuddin Mohd Rouse menegaskan, pihak pengurusan Suria FM akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebarang kenyataan fitnah yang dibuat terhadap jenama itu.

Ia susulan daripada kontroversi penamatan kontrak yang diumumkan secara tiba-tiba terhadap penyampai radio Tyzo Xander atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris yang hangat diperkatakan kini.

"Macam saya katakan, kita tidak akan mengambil (tindakan) undang-undang melainkan ada kes.

"Kalau selepas ini sesiapa sahaja membuat kenyataan, apa-apa sahaja kenyataan sama ada dalam media, kami tengok bagaimana.

"Adakah ia bersifat mencemarkan atau memburukkan keadaan, pada masa itu kita akan membuat ketetapan," katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, sebarang kenyataan atau komen yang boleh dianggap fitnah selepas sidang media itu berlangsung adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa penamatan kontrak Tyzo tamat pada Oktober tahun lalu, namun selepas rundingan bersama Tyzo, pihaknya bersetuju untuk meneruskan kontraknya sehingga Mac tahun ini berbanding tempoh setahun yang ditawarkan kepada beliau.

Industri hiburan baru-baru ini hangat dengan kontroversi penamatan kontrak Tyzo yang telah berkhidmat selama lapan tahun bersama Suria FM.

Penamatan kontrak pemenang Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35 itu dibuat itu lebih awal dari tarikh yang sepatutnya iaitu pada 9 Mac 2024.

Menurut Mohd Aminuddin, penamatan itu dibuat selepas membuat pertimbangan menerusi tinjauan jumlah pendengar dan kewangan syarikat.

Ia juga dibuat sebagai strategi dan perancangan baharu Suria FM untuk tahun 2024.

Bagaimanapun, isu ini menjadi bualan ramai selepas penamatan Tyzo turut dikaitkan dengan penyampai yang juga Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin atau nama sebenar Roslinda Abdul Majid, yang seolah-olah dilihat bertanggungjawab terhadap kontraknya yang tidak diteruskan.

Tindakan yang dibuat pihak pengurusan stesen itu disifatkan sebagai tidak wajar memandangkan segmen Suria Petang dikendalikan Tyzo bersama Sharifah Shahirah atau Shiera adalah slot paling popular pada waktu petang.

Tidak berpuas hati dengan langkah itu, ada netizen yang mengugut ingin memboikot Suria FM.

BACA: Tyzo akui minta kenaikan gaji sebanyak RM500 tapi nafi dakwaan tak minat untuk terus bekerja

Dalam pada itu, Tyzo turut menafikan kenyataan Mohd Aminuddin yang mendakwa dirinya sudah tidak berminat untuk bekerja di bawah jenama radio itu yang dijadikan sebagai sebab mengapa syarikat itu tidak meneruskan kontraknya.

"Saat yang paling sedih untuk saya kerana saya masih nak bekerja.

"Sangat menyedihkan kerana menyentuh periuk nasi saya. Saya sudah mendengar khabar angin ini sudah lama terutama selepas kemenangan saya di ABP.

"Mereka buat kesimpulan saya tidak berminat hanya sebab saya tidak 'update' pihak pengurusan, sedangkan sebelum ini seminggu sebelum kontrak tama baru mereka akan tanya dan sambung kontrak.

"Tapi, lain pula cerita kali ini? Sebelum ini, kontrak Sharifah Shahiran diperbaharui enam bulan sekali, tetapi kenapa apabila tiba giliran saya, terus buat kesimpulan saya tidak berminat," katanya memetik artikel Astro Gempak.