HIBURAN
Kesempurnaan tiga siri konsert sang maestro, Melly Goeslaw
KEHANGATAN Ada Apa Dengan Melly...? Prom Nite pada Sabtu akhirnya melengkapkan tiga siri konsert penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw.
Ringkasan AI
- Melly Goeslaw melengkapkan siri konsertnya di Malaysia: Ada Apa Dengan Melly...? Prom Nite pada 31 Mei di Axiata Arena Bukit Jalil menjadi penutup kepada tiga siri konsertnya selepas kejayaan Back To School dan Malam Graduasi.
- Konsert penuh nostalgia dengan 26 lagu ikonik: Melly membawakan lagu-lagu popular ciptaannya seperti Ku Bahagia, Ada Apa Dengan Cinta, Jika, dan banyak lagi, termasuk penghormatan kepada artis Malaysia seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Search, dan Aishah.
- Momen istimewa buat peminat dan Melly sendiri: Melly ingin peminat terus berhibur dan menganggap konsert ini sebagai malam yang menggamit kenangan, dengan kehadiran tetamu istimewa seperti Aina Abdul dan Nicholas Saputra.
“Saya mahu mereka tetap berpesta dan bersuka ria kerana ia akan menjadi momen paling tidak boleh dilupakan untuk kita semua,” ujarnya.
Ada Apa Dengan Melly...? Prom Nite berlangsung pada 31 Mei di Axiata Arena Bukit Jalil Kuala Lumpur bermula jam 8.30 malam.
Sebanyak 26 lagu ciptaan Melly dinyanyikan semula di atas pentas bersaksikan ribuan peminat dari Malaysia, Singapura dan Indonesia dan Brunei.
Antara yang menggamit kenangan ialah Ku Bahagia sebagai lagu pembukaan, Ada Apa Dengan Cinta, Jika, Gantung, Denting, Hanya Memuji, Sampai Menutup Mata, Let’s Dance Together, Pencinta Wanita, Tentang Seseorang, Berdua Lebih Baik, Cinta Sejati dan banyak lagi.
Tidak dilupakan juga, Aku Cinta Padamu nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza; Isabella (Search) dan Janji Manismu (Aishah) yang dimedleykan sebagai tanda penghargaan buat penggiat seni muzik itu di negara ini.
Penyanyi terkenal, Aina Abdul tidak ketinggalan diberi kepercayaan melantunkan Cinta nyanyian Melly dan Krisdayanti dalam satu segmen ‘interlude’, begitu juga artis undangan berbakat besar dari seberang, Dinda Ghania.

Melly Goeslaw turut menjemput Aina Abdul dan turut digegarkan dengan kehadiran pelakon popular, Nicholas Saputra. - Foto Sinar Harian
Pentas Axiata Arena turut digegarkan dengan kehadiran pelakon popular, Nicholas Saputra sekali gus mencetuskan histeria dalam kalangan peminat wanita.
Sementara itu, Pengasas Icon Entertainmen, Iman Tang menyifatkan Ada Apa Dengan Melly...? Prom Nite bukan pertemuan terakhir, sebaliknya menjadi malam pertama yang membawa peminat pulang ke terowong masa di samping menggamit memori dalam dua siri sebelumnya.
“Konsert kali ini bukti komitmen dan kesungguhan yang ingin Melly lengkapkan.
“Ia bukan lagi tentang Melly semata-mata, tetapi beliau amat bersyukur apabila semua karya yang dihasilkan menjadi sebahagian daripada kehidupan peminat terutamanya di Malaysia.
“Jadi, buat peminat yang datang ke konsert siri Back To School dan Malam Graduasi pada tahun lalu, Ada ApaDengan Melly...? Prom Nite malam pesta paling wajib dihadiri,” ujarnya menutup bicara. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami