Barisan pelakon yang bakal beraksi dalam teater 'Kena Main' karya seniman Khalid Salleh. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Selepas 17 tahun, aktivis teater, Khalid Salleh bakal mementaskan sekali lagi naskah 'Kena Main', sebuah teater konvensional, pada 27 Mac hingga 5 April di Panggung Sari, Istana Budaya (IB).
Pementasan ini dianggap memberi erti yang cukup besar, bukan hanya kepada Khalid dan pemain-pemainnya, tetapi juga kepada IB yang selama ini banyak mementaskan teater muzikal hingga mendapat kritikan beberapa pihak.
Usaha IB dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) mengambil inisiatif mementaskan teater ini dengan tujuan untuk mengangkat karya sastera berkualiti ke tahap lebih tinggi, selain berkongsi karya tersebut bersama-sama masyarakat setempat melalui penyampaian dalam bentuk teater sebenar yang penuh dengan teladan dan menghiburkan penonton.
Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron berkata naskah-naskah yang dihasilkan Khalid perlu diberikan penghormatan yang sewajarnya dengan membawanya ke pentas yang lebih besar.
"Khalid merupakan pejuang atau aktivis dalam dunianya tersendiri, iaitu lakonan, penulisan dan bahasa bangsanya.
"Kena main sebagai teater konvensional bukan sekadar memberikan hiburan, bahkan turut menyampaikan mesej dan idealogi untuk menjana pemikiran penonton," katanya pada sidang media teater Kena Main di IB, baru-baru ini.
Sementara itu, Khalid menganggap peluang beraksi di Panggung Sari merupakan satu ujian buat dirinya sendiri kerana sebelum ini kerap mengkritik pementasan di IB.
"Ini mungkin ujiannya, sebelum ini saya banyak kritik pementasan-pementasan di IB jadi kali ini saya pula pentaskan karya saya.
"Jadi ia macam..'kau pandai sangat cakap...nah kau cuba pulak'," katanya berseloroh.
Beliau beberapa kali telah menolak pelawaan untuk beraksi di IB biarpun banyak aktivis teater menganggap ia sebagai penanda aras pencapaian dalam teater.
Beraksi di IB bukan satu cita-cita Khalid tetapi apa yang lebih dipentingkan ialah peluang untuk melontarkan pemikiran dan kritik sosialnya.
Dalam memilih pelakon, Khalid lebih mementingkan bakat yang ada dalam diri pemain-pemainnya berbanding menawarkan kepada mereka yang bergelar bintang.
"Saya pilih Eman Manan bukan kerana status bintangnya tetapi kerana bakat yang beliau ada dan kerana sebelum menjadi bintang saya pernah berkerjasama dengannya," kata Khalid.
Kerana mementingkan bakat, tidak hairan Khalid memilih seorang pelakon yang dianggap masih baru, Aida Othman, untuk memegang watak Mona, salah satu watak utama dalam teater Kena Main.
Katanya, Aida dipilih selepas diuji bakat dan pemilihan pelakon itu diharapkan dapat menyuntik semangat aktivis-aktivis teater di luar Kuala Lumpur.
Bagi Aida, peluang untuk beraksi dibawah arahan tokoh hebat seperti Khalid dan berlakon bersama nama-nama besar seperti Eman, Sani Sudin dan Fauziah Nawi tidak akan dipersiakan.
Mengakui gementar untuk bergandingan dengan nama-nama besar ini, Aida berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk penonton.
Pelakon-pelakon lain yang turut bersama dalam Kena Main turut terharu kerana dipilih beraksi di IB dan mendapat peluang berkerjasama dengan Khalid.
Selain itu, teater ini turut menampilkan nama-nama hebat seperti Sabri Yunus, Ebby Saiful, Azizah Mahzan, Mohd Rodhi Md Noor dan Azman Hassan.
Tiket teater dijual pada harga RM35, RM55, RM85, RM105 dan RM155, dan boleh dibeli secara dalam talian di redtix.airasia.com.
Sebelum ini, naskhah Kena Main pertama kali dipentaskan pada tahun 1994 oleh kumpulan ANGKASARAN, Universiti Sains Malaysia (USM) dan dinobatkan sebagai Juara Pekan Teater Kebangsaan dalam Festival Teater Malaysia.
Seterusnya, pada 1998, Kena Main pernah dipentaskan di Malaysia Tourist Centre (MaTiC) Kuala Lumpur dan mencipta rekod dalam The Malaysia Book of Record sebagai pementasan teater pertama di Malaysia yang menampilkan orang kurang upaya (cacat penglihatan) sebagai watak utama.