HIBURAN
'King of Samba Rock' gegar Melaka 2 Ogos ini

Darkkey Nagaraja, bakal kembali ke pentas besar menerusi konsert amal bertajuk I Am Darkkey: King of Samba Rock Concert yang dijadual berlangsung di Panggung Bangsawan Melaka, Melaka pada 2 Ogos ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Mengangkat semula irama samba rock yang pernah menggoncang pentas era 90-an, penyanyi Tamil legenda tempatan Darkkey Nagaraja bakal membuat kemunculan yang dinanti-nantikan, menerusi konsert amal sulungnya I Am Darkkey: King of Samba Rock di Panggung Bangsawan Melaka pada 2 Ogos depan.
Ringkasan AI
- Konsert Amal Darkkey di Melaka pada 2 Ogos: Darkkey Nagaraja bakal tampil dalam konsert solo sulung bertajuk I Am Darkkey: King of Samba Rock di Panggung Bangsawan Melaka, bertujuan mengumpul dana kebajikan dan mengangkat seni muzik Tamil tempatan.
- Gabungan Artis Merentas Generasi: Konsert ini turut menampilkan Santesh dan Zubir Khan sebagai usaha menyatukan generasi lama dan baharu dalam muzik Tamil, dengan Darkkey bakal menyampaikan sembilan lagu dalam susunan baharu.
- Tiket Mesra Rakyat dan Lokasi Bersejarah: Tiket dijual antara RM69 hingga RM89 dengan lokasi konsert di Panggung Bangsawan Melaka yang kini menjadi hab seni moden dalam zon warisan UNESCO.
"Kami melihat Darkkey bukan sahaja sebagai artis tetapi juga simbol perjuangan seni yang kekal konsisten sejak era 90-an. Beliau baru-baru ini turut mencuri perhatian apabila diberi peluang menyanyikan lagu tema filem Kollywood, Good Bad Ugly.
"Daripada kejayaan itu, lahirlah idea untuk menganjurkan konsert ini yang merupakan usaha mengangkat karya tempatan, dan dalam masa yang sama menjana dana untuk program kebajikan yang telah kami jalankan sejak 2019," katanya kepada Bernama.
Selain Darkkey, konsert itu turut menampilkan dua artis popular iaitu Zubir Khan dan Santesh sebagai usaha menyatukan dua generasi pengkarya muzik Tamil di atas satu pentas bersejarah.
Beliau turut berharap penganjuran konsert itu dapat menarik lebih ramai pelancong ke Melaka.
Sementara itu, Darkkey, 58, berkata beliau menerima pelawaan konsert itu dengan hati terbuka kerana ia berbeza daripada persembahan yang biasa dilakukannya.
Menurut beliau, kebiasaannya beliau hanya diberi ruang untuk menyanyikan dua atau tiga lagu, namun kali ini diberi peranan sebagai penyanyi utama dan bakal menyampaikan sembilan buah lagu dengan susunan muzik baharu.
"Namun, yang paling menggembirakan saya konsert ini bukan untuk saya jadi 'kaya', tapi bertujuan membantu orang susah. Ini konsert amal dan saya bangga dapat jadi sebahagian daripadanya," kata Darkkey.
Pelantun lagu 'Puli Puli' itu juga berkata persiapan konsert bermula sejak dua minggu lalu menerusi sesi latihan intensif bersama-sama pemuzik dengan menggunakan format minus one.
"Saya juga memberi perhatian kepada stamina dengan melakukan senaman harian bagi memastikan diri saya benar-benar bersedia menghiburkan penonton sepanjang dua jam persembahan. Kali ini saya akan tampil sebagai penyanyi utama, kena usaha lebih sedikit, tapi jujurnya baju konsert belum siap," katanya.
Darkkey turut meluahkan rasa bangga melihat perkembangan muzik Tamil tempatan yang kini semakin diterima secara meluas, bukan sahaja dalam negara malah turut mendapat perhatian peminat luar.
Katanya, pelbagai genre termasuk sentimental, rap dan rock kini mendapat tempat dalam kalangan pendengar, menjadikan muzik Tamil lebih versatil dan terbuka kepada khalayak pelbagai lapisan.
"Sekarang muzik Tamil okey... sampai luar negara pun orang boleh dengar. Kadang-kadang ada juga peminat dari sana komen, kata lagu kita best. Yang lebih menarik, bangsa lain turut terima muzik kita," katanya.
Penyanyi itu turut menitipkan nasihat buat generasi baharu penyanyi Tamil tempatan agar sentiasa bersedia dan komited dalam perjuangan seni mereka.
"Kalau sudah bergelar penyanyi atau pemuzik, buat betul-betul. Kita juga kena selalu ingat yang kita secara automatik menjadi hak peminat. Kita tak boleh hanya fikir nak 'enjoy' (kita sahaja)... kita kena kerja bersungguh-sungguh untuk hiburkan orang kerana itu tanggungjawab kita," ujarnya.
Maklumat lanjut serta pembelian tiket boleh dibuat menerusi MMPCC atau laman rasmi: http://www.ilassotickets.com.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami