Media baru merupakan fenomena terkini dalam penyebaran maklumat. Penggiat seni tanahair turut menjadi pengguna setia dalam menyampaikan maklumat terkini pergerakan mereka termasuk meluahkan pandangan mereka secara langsung di laman sosial masing-masing.

Melihat kepada keadaan itu Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mengambil inisiatif untuk menyediakan kursus media sosial khas secara percuma buat penggiat seni.

Menurut Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, penggiat seni tidak boleh hanya bergantung kepada media konvensional semata-mata untuk berkongsi maklumat. Ini kerana media sosial dilihat lebih berkesan dan efisien dalam melakukan promosi.

Menerusi kursus ini, mereka akan diberi pendedahan bagaimana laman sosial seperti Twitter, Instagram, Facebook dan Youtube boleh membantu melariskan produk mereka sekaligus membantu menjana pendapatan.

“Kadang-kadang mereka ada single terbaru tetapi tidak tahu bagaimana untuk mempromosikannya. Mungkin menerusi media sosial, mereka akan mendapat lebih perhatian. Sekiranya ada peminat yang suka dengan lagu itu, jumlah tontonan akan meningkat sekaligus produk mereka akan mendapat perhatian ramai", jelas Freddie.

Bagaimanapun, Freddie sedar kekurangan pengetahuan dalam pengunaan media sosial menjadi penghalang kepada sesetengah artis yang ingin mempromosikan karya mereka menerusi medium tersebut.

Freddie juga menyeru agar penggiat seni tidak menyalahgunakan laman sosial untuk kegiatan yang tidak sihat seperti bergaduh dan mencetuskan sensasi murahan.

Dikendalikan oleh pakar teknologi maklumat (IT), Aziz Shariff, kursus ini akan membentangkan pelbagai teknik dan tips bagi memaksimakan keberkesanan mesej yang ingin disampaikan.

Kursus media sosial ini akan diadakan pada 18 April, pukul 2 petang di pawagam mini P.Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Ulu Klang.

Bagi mereka yang ingin menyertai kursus ini mereka boleh mengisi borang yang disediakan di laman web www.karyawan.org.my.