HIBURAN
'Lagu istimewa hadiah buat peminat' - Ini janji Anuar Zain untuk Konsert Empat Live In Kuala Lumpur

Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel bakal melancarkan lagu baharu ciptaan Edry Abdul Halim menjelang Konsert Empat Live In Kuala Lumpur pada Oktober ini. -Gempak
BAKAL mengadakan Konsert Empat Live In Kuala Lumpur pada Oktober, penyanyi Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel bakal menghadiahkan lagu baharu buat peminat.
Ringkasan AI
- Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel bakal melancarkan lagu baharu ciptaan Edry Abdul Halim menjelang Konsert Empat Live In Kuala Lumpur pada Oktober ini.
- Lagu tersebut dipilih secara sepakat oleh keempat-empat penyanyi selepas diperdengarkan dua pilihan oleh Edry, yang juga akan melakukan proses adunan lagu di Manchester, UK.
- Anuar Zain menekankan kepentingan sistem bunyi berkualiti tinggi untuk memastikan pengalaman konsert yang memuaskan, sambil berharap kolaborasi ini menjadi legasi dan jenama tersendiri dalam industri muzik tempatan.
"Ketika berjumpa Edry, Rabu lalu, dia beri kami dua pilihan lagu. Kami tertarik dengan salah satu daripada lagu ciptaannya yang 'menangkap' jiwa.
“Tidak bercakap banyak, kami berempat terus bersetuju sebaik lagu berkenaan diperdengarkan. Edry bertanya pendapat dalam aspek pilihan lagu dan susunan muzik yang kami mahukan.
“Dia pemuzik bijak dan tahu karakter kami berempat. Itu lebih bagus dan memudahkan kami dari mula hingga akhir," katanya.
Dalam pada itu, Anuar turut memberitahu proses adunan lagu dilakukan Edry di Manchester, United Kingdom (UK) kerana lebih selesa bekerja di ruang kerja sendiri.
Berbicara mengenai Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025, Anuar berharap kolaborasi itu dapat diabadikan sebagai legasi dan sejarah keluarga serta menjadi suatu jenama.
Penyanyi lagu Bila Resah itu juga berharap konsert itu bakal menghangatkan Mega Star Arena, Bukit Bintang, Kuala Lumpur sebagai acara yang diperkatakan dan dikenang peminat.
Sehubungan itu, kata Anuar, pemilihan lagu dibuat dengan teliti malah, sebagai penganjur, iaitu Anuar Zain Network dan Altus ProHouse, dia tidak berkompromi dengan sistem bunyi pada malam bersejarah itu nanti.
"Keutamaan saya adalah sistem bunyi. Kalau ada vokal yang baik dan pakaian yang cantik, tetapi, sistem bunyi lebih kurang kerana hendak kejar untung lebih, saya takut perkara itu akan mengganggu fikiran saya berbulan-bulan.
"Bagi saya, konsert perlukan sistem bunyi terbaik. Saya mahu apabila persembahan kami dimuat naik dalam media sosial, peminat boleh dengar dengan jelas muzik dan nyanyian kami.
"Walaupun peminat tidak tahu mengenai sistem bunyi, saya bertanggungjawab kerana mereka mengeluarkan duit yang banyak untuk datang ke konsert kami.
"Jadi, kami mahu mereka pulang dengan perasaan puas," katanya. -Gempak
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami