Filem Malaysia arahan Liew Seng Tat iaitu Lelaki Harapan Dunia (judul Inggeris : Men Who Save The World) bakal bertanding dalam kategori Asian Window untuk Anugerah NETPAC di Festival Filem Golden Horse Taipei.

Festival Filem Golden Horse Taipei (TGHFF) ialah festival filem terbesar di Taiwan yang akan mempersembahkan 180 buah filem dari seluruh dunia tahun ini.

TGHFF akan berlangsung dari 6-21 November dan salah satu acara kemuncak ialah Anugerah Golden Horse yang merupakan salah satu anugerah filem paling berprestij dalam industri perfileman bahasa Cina.

Antara selebriti popular yang akan menghadiri festival tahun ini termasuk Gong Li, Tang Wei , Sean Lau , Chen Jianbin, Chang Chen , Ethan Ruan dan ramai lagi.

Lelaki Harapan Dunia ialah sebuah filem komedi drama yang mengisahkan beberapa kejadian malang yang menimpa sebuah perkampungan Melayu yang aman yang mengakibatkan salah faham, tuduhan palsu dan suasana riuh sekampung.

Filem ini membariskan pelakon berpengalaman antaranya Wan Hanafi Su, Harun Salim Bachik, Soffi Jikan, Jalil Hamid, dan Azhan Rani.

Ia diterbitkan oleh Sharon Gan dan diterbitkan bersama Everything Films Sdn. Bhd. (Malaysia), Volya Films (Belanda), Flying Moon Filmproduktion (Jerman) dan Mandra Films (Perancis).

Filem Lelaki Harapan Dunia ditayangkan buat pertama kali di Festival Filem Antarabangsa Locarno pada Ogos 2014. Pada September 2014, tayangan perdana di Amerika Utara ialah di Festival Filem Antarabangsa Toronto, diikuti oleh tayangan perdana Asia di Festival Filem Antarabangsa Nara di Jepun.

Pada Oktober lepas, ia terus menjelajah ke festival filem antarabangsa dan telah menyertai Festival Filem Antarabangsa Vancouver yang ke-33. dan Festival Filem Antarabangsa Busan yang ke- 19.

Kini, filem itu sedang ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Kolkata (10 - 17 November 2014).

Lelaki Harapan Dunia akan menemui penonton Malaysia di layar perak pada 27 November 2014.