NEW YORK: PENYANYI pop terkenal global, Madonna yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan bakteria serius dilaporkan sudah dibenarkan keluar dari hospital dan sedang berehat di kediamannya di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.

Berdasarkan laporan portal berita CNN yang memetik sumber, penghibur berusia 64 tahun itu dibawa pulang ke rumahnya dengan menaiki ambulans persendirian.

"Dia semakin pulih," kata sumber berkenaan kepada CNN.

Dalam perkembangan sama, sumber rapat itu memberitahu CNN, keadaan Madonna semakin pulih selepas keluar hospital.

Pada Khamis, pengurus penyanyi itu, Guy Oseary dalam hantaran di Instagramnya berkongsi berita Madonna mengalami jangkitan kuman yang serius yang menyebabkan perlu mendapat rawatan selama beberapa hari dalam ICU.

"Kesihatannya bertambah baik, bagaimanapun masih di bawah pemantauan. Kami mengharapkan Madonna pulih sepenuhnya," tulis Oseary.

Sehubungan itu, Oseary turut mengumumkan, Madonna menangguhkan siri jelajah dunia sehingga pulih sepenuhnya.

"Buat masa ini, Madonna perlu menghentikan semua komitmen, termasuk siri jelajahnya.

"Kami akan berkongsi butiran lanjut sebaik sahaja mendapatkannya, termasuk tarikh baharu untuk siri jelajah dan konsert yang dijadualkan semula," katanya.

Berdasarkan perancangan, Madonna bakal mengumumkan 84 tarikh bagi siri konsert jelajah dunia bulan depan.

Konsert berkenaan diadakan sempena ulang tahun ke-40 single pertamanya 'Holiday' pada tahun 1983.

Siri jelajah berkenaan diberi nama 'Celebration Tour' dan merupakan penampilan pertamanya selepas konsert Madame X pada tahun 2019 dan 2020.

Beberapa konsert ketika itu turut dibatalkan akibat kecederaan yang dialaminya di bahagian lutut dan pinggul.

Siri konsert kali ini dijangka bermula di Vancouver, Kanada pada 15 Julai dan berakhir di Mexico City, Mexico pada 30 Januari tahun depan.

Siri jelajah ke Eropah dijadualkan bermula pada 14 Oktober di Arena O2, di London, England.

Lagu hit Madonna merentangi beberapa dekad termasuk 'Into The Groove' (1985), kepada 'Vogue' (1990) dan 'Hung Up' (2005) antara lain.

Pada tahun 2009, Madonna dianugerahkan Guinness World Record selepas menerima bayaran tertinggi oleh artis wanita susulan konsert jelajah 'Sticky & Sweet'.

Majalah Forbes menyenaraikan dia sebagai wanita ke-45 paling kaya di AS dengan kekayaan AS$580 juta (RM2.7 bilion).

Madonna membesar di Detroit, Michigan dan berpindah ke New York pada tahun 1978 bagi mengejar impiannya untuk menjadi seorang penyanyi dan penari terkenal.

Dia mempunyai enam orang anak dan minggu lalu dia mengucapkan tahniah dalam satu catatan di akaun Instagram miliknya, kepada anak kembar perempuannya yang berusia 10 tahun selepas tamat pengajian di sekolah rendah.

Awal tahun ini, abangnya, Anthony Ciccone, 66, meninggal dunia akibat ketagihan alkohol.