Membesar dengan lagu nyanyian Az Yet, penyanyi Malaysia Jaclyn Victor tidak pernah terfikir untuk berduet dengan kumpulan R&B itu.

Jaclyn menyifatkan tawaran KRU Music itu adalah satu peluang yang cukup berharga.

Jaclyn dan Az Yet berkolaborasi untuk lagu tema filem animasi 3D berbahasa Inggeris pertama terbitan KRU Studios iaitu ‘Ribbit’.

Paduan suara dalam runut bunyi berjudul ‘Magic Moment’ menandakan lagu Inggeris pertama sejak bernaung di bawah KRU Music setahun lalu.

Terkenal menerusi rakaman semula lagu kumpulan Chicago, ‘Hard To Say I'm Sorry’, Az Yet dianggotai Dion Allen, Shawn Rivera, Kenny Terry dan Claude Thomas.

Mereka menyifatkan pemenang kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik Di Dalam Lagu di Anugerah Industri Muzik 2012 itu sebagai seorang penyanyi yang cukup profesional.

Lagu ‘Magic Moment’, garapan dan gubahan Edry Abdul Halim ditulis sendiri kumpulan Az Yet selepas menonton klip ‘Ribbit’.

Filem animasi ‘Ribbit’ dijadual tayangan pada pertengahan tahun ini.