Global Station, Astro Shaw dan Red Films buat julung kalinya bergabung dalam menerbitkan sebuah filem romantik komedi ‘Manisnya Cinta Di Cappadocia’ (MCDC).

Filem diadaptasi daripada novel karya Anis Ayuni ini membariskan pelakon terkemuka Nur Fazura dan Shaheizy Sam di bawah pengarahan sutradara terkenal Bernard Chauly manakala lakon layar oleh Rafidah Abdullah.

Selain Fazura dan Shaheizy, MCDC juga dibintangi oleh barisan pelakon berkaliber seperti Faizal Hussein, Lisa Surihani, Eja, Josiah Hogan, Rafidah Abdullah, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Normah Damanhuri, Zaibo, Aida Rahim dan ramai lagi.

MCDC merupakan karya pertama Bernard yang berbentuk adaptasi novel selepas menghasilkan beberapa filem romantik komedi seperti ‘Gol & Gincu’ yang ditayangkan pada tahun 2005, ‘Pisau Cukur’ (2009) dan ‘Istanbul Aku Datang’ (2012).

“Saya rasa kematangan Fazura sebagai wanita Melayu melalui watak Ifti Liyana amat menonjol dalam filem ini, ditambah lagi dengan gandingan beliau bersama Lisa, Eja, Kak Ogy dan Zaibo sebagai sebuah keluarga.

"Ceritanya semakin menarik apabila beliau digandingkan dengan tiga lelaki yang hadir dalam hidupnya yang mana direalisasikan oleh Shaheizy, Faizal dan Josiah,” ujar Bernard yang berkongsi cerita tentang pembikinan MCDC.


‘Manisnya Cinta di Cappadocia’
Barisan pelakon ‘Manisnya Cinta di Cappadocia’ bersama pengarah, Bernard Chauly (tengah) - Facebook Manisnya Cinta Movie

Filem ini menjalani pengambaran di Cappadocia dan Anatolia, Turki serta di sekitar Kuala Lumpur.

Kata Bernard, beliau bertuah kerana kerjasama Turkish Tourism membolehkan MCDC mendapatkan visual-visual yang menarik dari negara penuh bersejarah itu.

“Proses perfileman selama sebulan sangat lancar dan memuaskan dengan kerjasama tenaga produksi Malaysia dan Turki yang sangat baik” katanya.


Trailer filem Manisnya Cinta di Cappadocia

MCDC mengisahkan kehidupan seorang gadis bernama Ifti Liyana (Fazura) yang tidak pernah mengharapkan kasih sayang daripada seorang lelaki.

Pertemuan Ifti dengan Nazmi (Shaheizy Sam) telah membuatkan hatinya terbuka semula untuk berkasih apatah lagi Nazmi turut yakin Ifti adalah wanita yang dicari-carinya selama ini untuk dijadikan isteri.

Namun bila kasih mula membara, bahangnya mulai terasa, Ifti Liyana nekad meninggalkan Nazmi tanpa penjelasan.

Apakah kesudahan cinta Ifti Liyana dan Nazmi? Saksikan di pawagam 11 Disember ini.