Menang anugerah lagu, Ed Sheeran buat persembahan 'percuma' di lorong
Persembahan secara percuma yang dilakukan penyanyi terkemuka, Ed Sheeran telah 'menggegarkan' sebuah lorong di Melbourne, Australia.
Agensi
Mon Mar 12 2018
Ed Sheeran menghargai para peminatnya dengan pelbagai cara. - Foto: MashableAsia
Persembahan secara percuma yang dilakukan penyanyi terkemuka, Ed Sheeran dikatakan telah 'menggegarkan' Hosier Lane, iaitu sebuah lorong di Melbourne, Australia.
Pertunjukan secara spontan dan santai tersebut ternyata berjaya menarik perhatian orang awam yang lalu-lalang di situ.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Perfect’ itu mengadakan persembahan tersebut sebagai hadiah buat peminat setelah dia diumumkan memenangi anugerah ‘Song of the Year’ dari Anugerah Muzik iHeartRadio, lapor portal MashableAsia.
Dalam persembahan itu juga, beliau menyatakan sebab dirinya tidak dapat hadir ke anugerah tersebut.
"Maaf, saya tidak dapat ke sana, saya di Melbourne pada ketika ini. Sekarang jam 10.15 pagi dan saya menerima anugerah ini,” ujarnya sebelum memulakan persembahan atas kemenangan single terbaharu ‘Perfect’ itu.
"Terima kasih banyak kepada semua warga iHeart, semua DJ radio, dan semua peminat. Mereka telah menyiapkan tempat ini agar saya dapat membuat persembahan, jadi saya akan teruskan dengan persembahan ini,” ujarnya.
Kerendahan hati Ed Sheeran memang diakui para peminatnya. Sebelum ini, di Adelaide, beliau pernah menanggung kos untuk membeli piza untuk para peminatnya yang ‘berkampung’ berhari-hari di venue persembahannya.