Menjelang konsert mega, Ella fokus vokal, kesihatan dan rehat

Ratu Rock negara, Ella bergambar pada majlis jamuan tengah hari bersama media sempena persembahan mega "Majlis Tertinggi Rockqueen Ella” baru-baru ini. - Foto Bernama
PETALING JAYA: Selepas kemeriahan konsert Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin awal bulan ini, tumpuan peminat hiburan kini beralih ke satu lagi persembahan mega oleh "Ratu Rock Negara" Ella yang bakal menghangatkan pentas pada 14 Feb depan.
Kembalinya Ella ke venue ikonik sama, Stadium Nasional Bukit Jalil selepas sekian lama tidak beraksi di pentas besar, mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan peminat sehingga ada yang mula membandingkan konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella nanti dengan persembahan besar lain yang pernah berlangsung di stadium itu.
Bagaimanapun, bagi pemilik nama Nor Zila Aminuddin ini, pembandingan itu tidak memberi tekanan besar kepadanya, sebaliknya berpendapat cabaran utamanya adalah memastikan konsert mega tersebut berjaya mencipta satu lagi detik bersejarah dalam perjalanan lebih empat dekad kerjaya seninya.
Bukan sekadar konsert biasa, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella bakal membawa penonton menyusuri perjalanan seni ratu rock negara ini, selain menjadi penghargaan istimewa buat peminat setia yang terus menyokongnya sejak awal pembabitan dalam industri muzik.
"Satu-satunya tekanan saya ialah memastikan saya betul-betul bersedia. Tekanan itu untuk menyempurnakan misi dan menjadikan konsert ini satu sejarah yang ingin dicipta," katanya kepada pemberita pada majlis jamuan tengah hari bersama-sama media, di sini baru-baru ini.

Ella bergambar bersama artis-artis yang akan menjayakan "Majlis Tertinggi Rockqueen Ella”, turut kelihatan Amir Masdi, Sam Bunkface dan Tam Spider. - Foto Bernama
Berkongsi persiapan menjelang konsert meganya itu, isteri kepada Kapten Azhar Ghazali ini berkata selain menjalani latihan vokal, penjagaan kesihatan termasuk pemakanan, senaman serta mendapatkan rehat yang mencukupi turut diberi perhatian jitu.
"Saya jaga makan, kurangkan gula, bersenam dan paling penting tidur yang cukup. Kalau boleh sebelum 10 atau 11 malam, saya sudah kena tidur," kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Retak dan Sepi Sekuntum Mawar Merah ini.
Dari segi persembahan pula, Ella memaklumkan segala perancangan dibuat secara terperinci bersama-sama pasukan produksi berpengalaman, sekali gus membuatnya lebih tenang walaupun skala persembahan jauh lebih besar berbanding konsert terdahulu.
Bekerjasama rapat dengan penganjur, Hitman Group termasuk berkongi idea bagi memastikannya berjalan lancar, penyanyi legenda ini berkata aspek kualiti bunyi di lokasi berskala besar, visual turut diberi perhatian khusus bagi memastikan pegalaman penonton di semua sudut stadium berada pada tahap terbaik.
"Saya tidak pening sebab saya ada pasukan yang sangat bagus. Kami juga sangat peka tentang isu bunyi dan akustik venue. Pasukan teknikal sudah ambil kira semua perkara itu.
"Kami juga akan dibantu dengan penggunaan LED yang besar supaya penonton yang berada jauh tetap dapat menikmati persembahan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, memaklumkan kira-kira 90 peratus tiket konsert berkenaan telah terjual setakat ini, melibatkan lebih 50,000 keping tiket, dan pihaknya optimis baki tiket akan habis dijual sebelum hari konsert.
Pada majlis sama, beberapa penyanyi jemputan turut diumumkan antaranya Amir Masdi, Sam Bunkface dan Tam Spider, manakala dua lagi nama masih dirahsiakan sebagai kejutan buat penonton.
Menariknya, konsert ini bukan sekadar hiburan semata-mata. Setiap pembelian tiket turut memberi peluang kepada penonton untuk memilih tabung sumbangan pilihan sama ada Peace untuk Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Love bagi Yayasan Kebajikan Negara atau Rindu untuk Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


