Semua itu melatari suasana visual penuh bergaya dalam video muzik yang dinanti-nantikan peminat ini, sekali gus membuai mood yang tersendiri buat seseorang untuk menghayati bait-bait lirik lagunya.
Itulah yang dapat disimpulkan apabila bercakap tentang video muzik Sampai Bila oleh penyanyi terkenal tanah air, Misha Omar yang akhirnya dilancarkan dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia pada jam 1 petang, Khamis.
Mereka yang menanti terjemahan visual lagu itu kini boleh boleh menontonnya di YouTube, dengan persembahan sinematografi dan naratif menarik yang 'menyerap' erti kata-kata serta getaran melodi alunan Misha.
Bercerita mengenai lagu berkenaan, Misha menyatakan bahawa Sampai Bila membuka ruang besar untuk beliau berkarya.
"Sampai Bila memberikan saya ruang mencurahkan kreativiti dalam mencorakkan penyampaian. Sebagai penyanyi yang mempunyai lebih 16 tahun pengalaman, saya mencari sebuah karya yang menuntut cabaran baharu, pada masa sama menyerlahkan sisi kematangan diri," katanya.
Tambah beliau, proses rakaman lagu tersebut tidak mudah baginya kerana beliau sedang melalui proses pemulihan dan perubahan pada diri selepas melahirkan cahaya mata sulung, Muhammad Idris Ezzwa.
Dibantu guru vokal Dia Fadila, Misha berusaha menggilap semula dan mencungkil sisi baharu dalam nyanyian untuk menyerlahkan lagi kemampuan vokal emasnya.
Oleh kerana lagu tersebut mendapat sambutan yang hebat dari orang ramai, pihak pengurusan Sony Music Entertainment Malaysia mengambil keputusan untuk menghasilkan video muzik rasmi bagi lagu berkenaan.
Kreativiti video muzik itu adalah idea daripada pengarah yang cukup berpengalaman dalam bidang fotografi dan pengarahan muzik video, Chuan Looi.
Beliau juga merupakan pemenang bagi anugerah pengarah terbaik untuk Malaysia Chinese Music Award pada tahun 2018.
Menariknya, Sampai Bila merupakan video muzik artis melayu tempatan pertama yang diarahkan oleh Chuan Looi.
Menurutnya, video muzik tersebut memaparkan gabungan pelbagai elemen di samping bermain dengan pencahayaan demi menampilkan emosi dalam lagu berkenaan.
“Penggunaan lokasi rumah api adalah disebabkan maksud tersirat, di mana walaupun bersendirian, rumah api tetap memberikan cahayanya kepada kapal yang berlayar di sampingnya,” tambahnya.
Selain rumah api, penggambaran video muzik itu juga dilakukan di dalam studio sekitar Pelabuhan Klang, Selangor dan turut melibatkan lebih daripada 20 orang peminat setia Misha Omar.
BACA: Menyanyi sambil duduk, Misha Omar dapat pujian
BACA: Pemergian Adnan Abu Hassan, anak didik kongsi kesedihan
Lagu berkenaan adalah hasil ciptaan komposer terkenal, Sharon Paul, manakala liriknya pula ditulis oleh Ahmad Fedtri Yahya dan Shah Shamshiri.
Sebelum ini, Misha Omar memuat naik video teaser muzik video berkenaan di laman Instagram dan menerima lebih 61,000 likes.
Kemunculan semula Misha menerusi lagu Sampai Bila pada pertengahan tahun ini telah membuatkan ramai peminat teruja dan gembira dengan comeback beliau dalam industri seni suara tanah air.