PENYANYI MK K-Clique, 27, selamat bergelar suami kepada Siti Hajaar Syeikh Nordin, 26, dengan hanya sekali lafaz dalam sebuah majlis nikah di Masjid Jami'il Huda, Ampang kira-kira jam 9.35 pagi tadi.

Pasangan itu dinikahkan oleh jurunikah Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Jami'il Huda, Ampang, Mahdi Mat Zain serta diwalikan oleh bapa kepada pengantin perempuan, Datuk Seri Dr Syeikh Nordin Sheikh Ahmad.

MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan, segak berbaju putih bersih menyerahkan mas kahwin sebanyak RM302 dan seutas gelang tangan manakala, wang hantaran dirahsiakan.

Sementara itu, kedua-dua belah pihak masing-masing berbalas enam dulang hantaran.

MK yang ditemui usai majlis pernikahannya bersyukur kerana semua berjalan lancar.

"Alhamdulilah saya bersyukur segalanya berjalan dengan lancar. Syukur sudah jadi suami orang.

"Walaupun persiapan dilakukan dalam masa agak singkat tapi semuanya dipermudahkan. Doakan kebahagiaan kami," kata MK ringkas.

Majlis pernikahan yang diadakan cukup sederhana itu hanya diahadiri oleh 100 orang tetamu yang terdiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Berita pernikahan penyanyi rap kelahiran Tawau, Sabah ini juga turut menamatkan spekulasi dirinya bakal berkahwin dengan gadis yang digosipkan dengannya sebelum ini.

Terdahulu, tular video yang memaparkan aksi mesra MK yang menyaksikannya memimpin tangan seorang wanita tular di media sosial, baru-baru ini.

Pada Mei lalu, penyanyi rap ini membuat ramai peminat wanita patah hati apabila tular video yang menyaksikan dirinya memimpin tangan seorang wanita dalam satu majlis.

Lebih membuat ramai cemburu apabila mereka hadir dengan memakai pakaian sedondon berwarna hitam. - Gempak