KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali, 30, dikatakan telah mengikat pertunangan dengan ahli perniagaan yang juga bekas pelumba kereta litar Formula, Nik Iruwan Nik Izani, Jumaat lalu.

Difahamkan, majlis pertunangan diadakan di kediaman penyanyi itu di Selayang, dan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat saja.

Tinjauan di media sosial Nabila, juga mendapati penyanyi lagu Peluang Kedua itu tidak memuat naik sebarang kemas kini atau 'petanda' berkaitan majlis tersebut.

Memetik laporan MStar, pengurus Nabila, Ash, juga tidak mengetahui tentang pertunangan artis itu.

"Apa-apa pun, boleh berhubung dengan Nabila sendiri," katanya.

Menerusi maklumat di media sosial, Nik Iruwan, 37, merupakan bekas pelumba kereta litar Formula dan masih aktif dalam sukan go-kart, selain menguruskan perniagaan keluarganya.

Baru-baru ini, hubungan mereka dihidu media dan peminat selepas gambar mereka bersiar-siar di sebuah pusat peranginan tersebar.

Pasangan itu dikatakan mula menjalin hubungan serius sejak beberapa bulan lepas, dan mempunyai minat yang sama dalam sukan pemotoran.