ADA beberapa hal yang sempat dikongsikan oleh penyanyi dan pelakon, Nabila Razali sebaik sahaja statusnya berganjak dari tunangan orang kepada seorang isteri.

Nabila, yang mengakui perasaannya sedikit bercampur baur bagaimanapun tenang menyusun bicara, membutirkan rasa demi rasa selepas rasmi bergelar pasangan hidup lelaki pilihan hati, Nik Iruwan Nik Izani.

“Perasaan saya bercampur baur sebenarnya. Sebak ada, sedih pun ada… gembira sudah tentu.

“Tapi saya pasti, 1,001 perasaan yang ada pada ketika ini adalah untuk masa depan yang lebih baik insya-Allah,” katanya kepada Gempak usai majlis pernikahannya di The Chateau Spa & Wellness Resort, Bukit Tinggi, Pahang pada Sabtu.

Mengenai Nik Iruwan yang kini bergelar pasangan hidupnya, Nabila berkata, terdapat beberapa ciri menarik pada lelaki itu yang membuatkan dirinya jatuh hati.

“Dia merupakan seorang yang sangat memahami. Selain itu, apa yang paling penting, dia sangat matang dalam membuat keputusan atau dalam menggalas tanggungjawab. Sebab tanggungjawab seorang suami kan besar? Jadi saya rasa pasangan yang saya pilih, insya-Allah tepat.

“Selain itu, saya juga rasa yang jodoh saya ini yang insya-Allah dapat membimbing saya ke arah lebih baik, dan bimbing saya juga menjadi isteri yang baik terhadap diri dia,” ujar Nabila.

Mengulas lanjut, Nabila memberitahu yang Nik Iruwan tidak pernah menghalang dirinya untuk meneruskan kerjaya dalam bidang seni.

“Dia sangat memahami kerjaya saya. Sekiranya ada apa-apa, hanya perlu inform sahaja. Kami mencari rezeki dalam bidang yang sama jadi dia sangat faham mengenai kerjaya saya.

Beralih mengenai kronologi kisah cintanya bersama Nik Iruwan, Nabila memilih untuk terus mengunci mulut.

“Cara kami berkenalan, cukup kami sahaja yang tahu. Tapi apa yang penting, momen kami bersama. Kami tidak pernah rasa canggung atau was was antara satu dengan lain.

“Alhamdulillah kedua keluarga merestui. Hal itu sudah cukup buat kami dan kepada peminat yang ingin tahu,” katanya lagi.

Begitupun, alumni program realiti AF2013 itu tidak menolak kisah cintanya itu ada ‘tersembunyi’ dalam lagu terbaharu, Hanya Kamu.

“Lagu ini dicipta oleh MFMF dan mereka tidak ambil masa lama untuk siapakan single ini. Bila saya beritahu tentang kronologi dan kisah percintaan kami berdua, mereka terus siapkan dan beri saya demo. Ketika saya dengar demo itu, liriknya memang ada kena mengena dengan kehidupan saya sebelum saya bergelar kekasih, tunangan dan kini isteri.

“Saya sangat gembira dengan lagu ini dan ia ditujukan buat suami tercinta dan juga peminat yang sudah lama mahukan karya baharu,” katanya yang bakal meriliskan versi penuh Hanya Kamu pada 26 November depan.

*Artikel asal yang disiarkan di Gempak