Kugiran punk rock, The Clash pernah tampil dengan London Calling, suara menawan Frank Sinatra sentiasa diingati dalam New York, New York dan Freddie Mercury masyhur dengan Barcelona yang menjadi lagu tema Sukan Olimpik bandar tersebut pada tahun 1992.

Kuala Lumpur juga tidak ketinggalan.

Sejak bendera Union Jack diturunkan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos 1957, sehinggalah terdirinya nmenara berkembar tertinggi di dunia sebagai salah satu mercu tanda Kuala Lumpur, banyak lagu yang telah digubah bertemakan ibu negara Malaysia ini.

Sempena sambutan Hari Wilayah, siri #OrangKL akan dilancarkan pada 1 Feb, 2016 hanya di astroawani.com



Keroncong Kuala Lumpur - P. Ramlee (1968)

Lagu ini diabadikan dalam filem Anak Bapak yang diterbitkan pada tahun yang sama. Allahyarham Tan Sri P. Ramlee muncul sebagai Che’ Harun yang berkunjung ke majlis berkhatan dan diminta oleh para pekerjanya untuk menyanyikan lagu ini.

Kuala Lumpur
Ibu negara Malaysia
Aman Serta Makmur
Selepas Merdeka


P. Ramlee - Keroncong Kuala Lumpur



Air Mata di Kuala Lumpur - Saloma (1972)

Lagu ini terkenal sebagai lagu terakhir gubahan P. Ramlee sebelum meninggal dunia setahun kemudian, dengan lirik hiba yang menggambarkan kepayahan hidupnya di hujung kariernya sebagai penghibur.

Hazama pernah menyanyikan semula lagu ini dalam rancangan terbitan Astro Ria berjudul, MeleTOP.

Hidup sudah tiada bererti
Zahirku hidup batinku mati
Remuk redah hatiku hancur
Air mata di Kuala Lumpur

Saloma - Air Mata di Kuala Lumpur



Senja di Kuala Lumpur - Broery Marantika (1980)

Lagu ciptaan Datuk Ahmad Nawab ini mengukuhkan lagi populariti penyanyi Indonesia ini di Malaysia yang turut terkenal dengan lagu berjudul, Biar Bulan Bicara.

Seorang lagi penyanyi Indonesia, Poppy Mercury turut menyanyikan lagu untuk ibu negara, Tragedi Antara Penang dan Kuala Lumpur terbitan pada tahun 1991.

Kan ku ingat kan ku kenang
Senja indah senja di Kuala Lumpur
Kan ku bawa kan ku simpan
Senja indah senja di Kuala Lumpur

Broery Marantika - Senja di Kuala Lumpur


Chow Kit Road - Sudirman (1981)

Tarikh 14 April, 1986 tidak akan dilupakan oleh lebih 100 ribu warga kota yang berada di Jalan Chow Kit di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur untuk menghadiri konsert gergasi percuma yang diadakan oleh Penghibur Terbaik Asia ini bagi menghargai para peminatnya.

Indahnya petang di Chow Kit Road
Kuala Lumpur
Indahnya petang di Chow Kit Road
Kuala Lumpur

Sudirman - Chow Kit Road



Kuala Lumpur Oh Kuala Lumpur - Malek Ridzuan (1981)

Selain Malek Ridzuan, lagu ini juga pernah dinyanyikan oleh Adam Ahmad bagi iklan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada tahun 1986 dan kumpulan rock alternatif, Hujan pada tahun 2012.

Filem komedi arahan Mamat Khalid berjudul, Rock Oo turut memuatkan lagu ini dalam salah satu babak filem tersebut.

Kuala Lumpur
Kuala Lumpur
Menyinari hidupku
Kota yang penuh dengan cabaran

Malek Ridzuan - Kuala Lumpur Oh Kuala Lumpur



Senyumlah Kuala Lumpur - Alleycats (1982)

Tidak dapat dinafikan lagi, lagu yang dimuatkan dalam album 6 Kucing ini merupakan antara lagu bertema Kuala Lumpur yang paling popular dan malar hijau hingga ke hari ini.

Kuala Lumpur senyumanmu
Dipagi ini
Sungguh bererti
Kerna cinta bersemi lagi
Setelah kemarau panjang

Alleycats - Senyumlah Kuala Lumpur


Sesat di Kuala Lumpur - Kembara (1986)

Lagu ini merupakan salah sebuah lagu runut bunyi bagi filem Kembara Seniman Jalanan yang dibintangi oleh Datuk M. Nasir, Amy Search dan bekas penyanyi lagu Saya Anak Malaysia, Dr Sam Rasputin yang juga mempunyai sebuah lagu bertema Kuala Lumpur iaitu Oleh-Oleh di Kota Raya yang dinyanyikan bersama kumpulan Musafir.

Sesat di Kuala Lumpur
Dosa dan pahala bercampur
Tapi kita perlu hidup
Kita perlu terus hidup


Kembara - Sesat di Kuala Lumpur

Hujan Bunga di Kuala Lumpur - Ana Raffali (2010)

Salah satu lagu yang melonjakkan nama Ana sebagai penyanyi/komposer pop santai dengan imej bergitar yang kemudiannya menjadi ikutan.

Dekad ini juga menyaksikan beberapa lagu lain untuk ibu kota seperti Panik di Kuala Lumpur (2007) nyanyian The Times dan Kuala Lumpur (2008) oleh Hujan.

Hujan bunga di Kuala Lumpur
Kini sudah tiada
Masa untuk mencari payung
Berteduh kita bawah surat khabar
Lalu terbaca berita kata
Hujan ini tak akan reda




KL Kita - Yuna & Qi Razali (2012)

Lagu ini dimuatkan dalam album Yuna, Terukir di Bintang dan turut dipilih sebagai lagu tema bagi filem Kolumpo yang menggabungkan tiga kisah arahan tiga pengarah berbeza.

Waktu mencemburui aku
Kota raya menjamahku
Di mana perginya mimpiku
Mungkin dijemarimu




Kotarayaku - Altimet & Noh (2014)

Versi pertama lagu ini dinyanyikan oleh Tom pada tahun 2012 namun versi kedua ini lebih menarik perhatian pendengar terutamanya lirik rap Altimet yang penuh makna.

Oh Kuala Lumpur
Kau yang tak pernah tidur
Menjaga mimpi yang luntur
Oh kotarayaku
Kisah seribu satu
Abadi di jalananmu