BINTANG filem Hollywood Tom Sizemore dilapor berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital di Los Angeles.

Pelakon itu difahamkan mengalami aneurisme otak di rumahnya sejurus selepas jam 2 pagi pada Sabtu sebelum pengsan, kata pengurusnya Charles Lago.

Sizemore, 61, dibawa ke hospital di mana dia kini dalam pemerhatian di unit rawatan rapi, lapor TMZ.

Lago berkata keluarganya "sedar akan situasi itu dan mengharapkan yang terbaik".

"Masih terlalu awal untuk bercakap tentang situasi pemulihan kerana dia berada dalam keadaan kritikal dan kini dalam pemerhatian," kata Lago.

Sizemore terkenal memegang watak Sarjan Mike Horvath dalam filem Perang Dunia II arahan Steven Spielberg "Saving Private Ryan" yang memenangi anugerah Oscar.

Sizemore juga pernah membintangi filem "Black Hawk Down", "Born on the Fourth of July" dan "Natural Born Killers".

Kemunculan terbaharunya adalah dalam episod siri TV "Twin Peaks" dan "Cobra Kai."

Pelakon itu mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah dan pelanggaran undang-undang.

Sizemore telah disabitkan atas kesalahan melakukan keganasan rumah tangga pada tahun 2003 terhadap teman wanitanya Heidi Fleiss.

Pada 2006, dia mengaku bersalah menggunakan dadah methamphetamine di luar sebuah motel.

Sizemore ditangkap di Los Angeles pada 2009 setelah disyaki memukul bekas isteri, dan sekali lagi pada 2011 atas kesalahan yang sama.