HIBURAN
Peminat tuntut pengebumian negara, hari berkabung untuk Ozzy Osbourne

Beberapa petisyen dilancarkan menuntut agar Ozzy Osbourne diberi penghormatan terakhir dalam bentuk pengebumian negara. -Gambar fail/AP
PEMINAT legenda rock Ozzy Osbourne menuntut agar beliau diberi penghormatan terakhir dalam bentuk pengebumian negara serta satu hari berkabung nasional sebagai menghargai sumbangannya dalam dunia muzik dan budaya.
Ringkasan AI
- Peminat Ozzy Osbourne menuntut agar beliau diberi penghormatan rasmi seperti pengebumian negara dan hari berkabung nasional sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam muzik dan budaya.
- Petisyen telah dilancarkan untuk menamakan semula Lapangan Terbang Birmingham sebagai Ozzy Osbourne International dan mendirikan patung berhampiran Hospital Kanak-Kanak Birmingham bagi memperingati kerja amal beliau.
- Walaupun belum ada pengumuman rasmi mengenai pengebumian, majlis penghormatan bertaraf bintang dijangka diadakan dalam beberapa minggu akan datang, dengan penyanyi Yungblud antara yang dijangka terlibat.
“Ozzy Osbourne, pengasas dan perintis muzik metal, telah menyentuh hati ramai. Adalah wajar negara kita menghargai bukan sahaja sumbangan muzik beliau, tetapi juga impak budayanya yang mendalam.
"Memberikan pengebumian negara dan hari berkabung nasional bukan sahaja meraikan kehidupannya, malah mengiktiraf peranannya dalam membentuk industri muzik dan menyatukan komuniti peminat,” tulis petisyen di platform Change.org.
Dalam pada itu, kenyataan lama Ozzy mengenai pengebumiannya kembali tular, di mana mendiang dilaporkan berkata mahukan sebuah upacara yang penuh dengan rasa terima kasih, bukan kesedihan.
“Tiada siapa akan meratapi waktu-waktu sukar. Ramai orang hidup penuh penderitaan sepanjang hayat, jadi jika dibandingkan, kebanyakan kita, terutamanya bintang rock seperti saya, sangat bertuah.
"Sebab itulah saya tidak mahu pengebumian saya jadi acara sedih, saya mahu ia jadi waktu untuk mengucapkan terima kasih,” katanya kepada The Times pada tahun 2011.
Biarpun belum ada perancangan rasmi mengenai pengebumian Ozzy didedahkan, media antarabangsa melaporkan satu majlis penghormatan bertaraf bintang akan diadakan dalam beberapa minggu akan datang, sebelum pengebumian tertutup diadakan.
Antara yang dijangka terlibat dalam acara memperingati beliau ialah penyanyi Yungblud, yang sebelum ini turut membuat persembahan dalam konsert terakhir Ozzy, awal bulan ini.
Bintang rock muda berusia 27 tahun itu difahamkan mempunyai hubungan yang rapat dengan mendiang Ozzy.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami