KUALA LUMPUR:Dokumentari The Penan Project yang diterbitkan Sarawak Media Group (SMG) memenangi pingat perak menerusi Spotlight Documentary Film Awards 2020 di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Berdurasi hampir 43 minit, dokumentari yang diarahkan Lau Ung Ing ini merupakan satu-satunya dokumentari dari Malaysia yang dicalonkan untuk anugerah ini.

Menerusi kenyataan SMG pada Khamis, pengasas bersama Penan Women Project, Ann Wong berkata, dokumentari ini mengisahkan projek komuniti SHINE yang diketuai Penan Women Project yang menyediakan pemeriksaan kesihatan dan bekalan keperluan penjagaan diri kepada komuniti Penan di Ulu Baram.

“Projek ini merupakan usaha membantu misi kerajaan negeri  dalam meningkatkan kesedaran pemeriksaan asas kesihatan dan penjagaan diri kepada komuniti luar bandar.

“Menerusi projek ini, kami disertai dua pegawai perubatan (doktor) dari hospital kerajaan dan mereka bertanggungjawab melakukan penilaian kesihatan ini.

“Dengan adanya projek sebegini, ia diharap akan membantu pihak berkuasa untuk menyediakan fasiliti dan perkhidmatan kesihatan yang sesuai untuk komuniti Penan di sini,” kata Ann Wong.

Bagi menjayakan misi ini, projek komuniti SHINE berkesempatan mengunjungi lima penempatan kaum Penan di Ulu Baram melibatkan Long Abang, Long Melangit, Long Pakan, Ba Kabeng dan Long Daloh menerusi perjalanan yang memakan masa empat hari.

Menurut Pengarah The Penan Project Lau Ung Ing, projek ini penting dalam memastikan tiada sesiapa ketinggalan dalam aspek penjagaan kesihatan lebih-lebih lagi di saat negara masih berperang dengan penularan pandemik COVID-19.



The Penan Project. YouTube / TVS

“Projek sukarela sebegini sebenarnya merupakan satu pengalaman yang membuka mata kami bagi melihat perbezaan masyarakat di sini.

“Sememangnya mereka berada jauh di pedalaman, tetapi dalam situasi penularan COVID-19 ini, mereka tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja,” katanya.