Nama Datuk Seri Siti Nurhaliza, merupakan satu nama yang tidak asing lagi di pentas seni suara Malaysia.

Beliau berehat seketika dari industri kerana memberikan fokus kepada anak sulungnya, Siti Aafiyah Khalid yang akan berusia setahun pada bulan Mac ini.

Selama hampir 23 tahun menyerikan industri hiburan tanah air sudah pasti beliau tidak akan pernah puas untuk memberikan yang terbaik buat peminat setianya.

Kemunculan kembali dengan konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour bermula bulan depan sudah semestinya akan mengubat rindu buat peminat pelantun lagu Anta Permana.

Menurut Siti Nurhaliza, siri konsert jelajah itu merupakan tanggungjawab besar buat beliau untuk kembali semula ke industri seni suara tanah air.

"Akan ada benda besar iaitu konsert jelajah saya dan itu merupakan tanggungjawab kerana saya melihat diri saya seperti kembali semula ke dalam industri," kata penghibur nombor satu tanah air itu.

Tambah beliau, untuk kembali ke industri bukannya mudah dan dia mengambil segala komen negatif yang dilemparkan terhadapnya sebagai satu pembakar semangat.

Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour akan membuka gelanggang pada 21 Februari 2019 di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia dan diikuti di Singapore Expo, Singapura pada 21 Mac 2019.

Manakala peminat di Malaysia boleh menyaksikan konsert itu di Arena Axiata, Kuala Lumpur pada 16 Mac 2019.

Siti Nurhaliza juga dijangka kembali beraksi di Royal Albert Hall, London pada April 2019.

Sebagai penghargaan pengibur ini kepada peminat-peminatnya, Siti Nurhaliza merakamkan ucapan terima kasih kepada peminat-peminatnya.

Sedutan ucapan berkenaan dirakamkan oleh krew Astro AWANI secara eksklusif.