ENTERTAINMENT
Penipuan dalam talian: Sean Kingston berdepan kemungkinan hukuman penjara 20 tahun

Hukuman masih belum dijatuhkan tetapi Kingston boleh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun selepas ditahan tahun lalu.
PENYANYI antarabangsa, Sean Kingston dan ibunya, Janice Turner, disabitkan bersalah dalam kes penipuan bernilai AS$1 juta.
Hukuman masih belum dijatuhkan tetapi penyanyi raggae itu boleh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun selepas ditahan pada Mei tahun lalu.
Kingston, yang nama sebenarnya Kisean Anderson, dan ibunya dituduh terbabit dalam skim penipuan melibatkan barang kemas, kenderaan mewah dan beberapa barangan lain, selepas rumahnya diserbu susulan siasatan berhubung pemasangan televisyen.
Mereka didapati bersalah atas semua lima pertuduhan, termasuk satu pertuduhan konspirasi untuk melakukan penipuan dalam talian.Kingston, 35 tahun, kini berada dalam tahanan rumah sementara menunggu hukuman dijatuhkan pada 11 Julai depan.
Antara pertuduhan yang dikenakan ke atas Kingston adalah menipu sebuah syarikat bagi memasang set televisyen di rumahnya.
Agensi Ver Ver Entertainment mendakwa dalam tuntutan mahkamah bahawa Kingston menghubungi mereka pada September 2023 berhubung pembelian sebuah set televisyen gergasi berukuran 232 inci berharga AS$150,000.
Sementara itu, peniaga barang kemas, Moshe Edery dalam keterangannya pula mendakwa, Kingston dan ibunya memalsukan pemindahan wang untuk membeli seutas jam tangan mewah.
Edery mendakwa, Kingston berjanji untuk memperkenalkannya kepada selebriti lain untuk membantu mengembangkan perniagaannya.
Edery malangnya telah dipecat dan disenaraihitamkan selepas Kingston gagal menjelaskan bayaran berjumlah AS$285,000.
"Sungguh menakjubkan apa yang anda boleh dapat jika anda seorang selebriti.
"Dia mencipta persona kononnya dia seorang yang kaya. Ibunya adalah komponen penting dalam hal ini.
"Dia menunjukkan dirinya sebagai seorang lelaki yang berorientasikan keluarga, 'Saya menjaga ibu saya..' tetapi dia hanya mengambil kesempatan," kata pendakwaraya, Dennis Card
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami