HIBURAN
Penyampai ERA meriahkan Sambutan Minggu Perpaduan 2025 di Pulau Pinang

Stesen radio popular negara, ERA, tidak melepaskan peluang menyemarakkan semangat kebersamaan rakyat Malaysia apabila tampil memeriahkan Sambutan Minggu Perpaduan 2025 di Batu Kawan, Pulau Pinang.
BATU KAWAN: Stesen radio popular negara, ERA, tidak melepaskan peluang menyemarakkan semangat kebersamaan rakyat Malaysia apabila tampil memeriahkan Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Pekarangan Stadium Negeri Pulau Pinang dari 17 hingga 20 Julai.
Sebagai sebahagian inisiatif memupuk nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, ERA menganjurkan aktiviti istimewa bertemakan Sukan Uniti ERA yang berlangsung pada Jumaat, sekali gus menjadi antara acara yang mencuri perhatian pengunjung.
Beberapa penyampai ERA turut turun padang termasuk Nabil Ahmad, Azad Jazmin, Radin, Haziq, Sasha, Munaabella dan Syazwan Razak, yang tidak hanya menghiburkan, malah berinteraksi secara mesra dengan pengunjung.
Acara juga menjadi lebih meriah dengan kehadiran selebriti tanah air seperti Cik B, Amar Ahyan, Eric Fuzi, Ryan Bakery, Wany Hasrita, Amira Othman dan Haqiem Rusli, yang turut sama menyertai pelbagai aktiviti bersama orang ramai.Antara permainan rakyat yang mencuit hati dan mencetus gelak tawa termasuk Lumba Itik, Semut Berkawat, Cup Stacking, Body Rolling, Pyramid dan Ulat Bulu Berantai, yang berlangsung dari jam 4 hingga 6 petang.
Menurut Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin, penyertaan ERA dalam sambutan ini merupakan peluang terbaik untuk mendekati pendengar daripada pelbagai latar belakang sambil menyampaikan mesej perpaduan secara santai dan menyeronokkan.
“Kehadiran penyampai dan selebriti ERA bukan sekadar menghiburkan, tetapi turut mencipta kenangan manis bersama para pengunjung. Ini sebahagian daripada usaha kami memupuk semangat muhibah dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, sebagai sebuah jenama radio yang sentiasa dekat dengan komuniti, ERA percaya hiburan mampu menjadi medium berkesan dalam membina jambatan perpaduan dan toleransi antara rakyat pelbagai kaum.
“Melalui Sukan Uniti ERA, kami bukan sekadar membawa hiburan, malah memberi ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi, bergelak ketawa dan menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan negara kita,” katanya lagi.
ERA turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas jemputan dan kerjasama yang diberikan sepanjang program berlangsung.
Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti ERA, orang ramai boleh mengikuti laman sosial rasmi ERA atau memuat turun aplikasi ERA di Google Play dan App Store.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami