Kareem Salama, penyanyi muzik 'country' Islam pertama Amerika Syarikat, berkata beliau tidak pernah berasa terpinggir membesar di Ponca City, Oklahama.

"Saya kelahiran Amerika dengan ibu bapa yang berdarah Mesir, dan dibesarkan di pekan kecil Ponca City, Oklahama. Di bandar kami tidak ada masjid dan hanya ada satu lagi keluarga Islam yang tinggal di sana, tetapi kanak-kanak belajar tentang tradisi Islam di rumah," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Penyanyi berusia 37 tahun itu berkata demikian semasa mengadakan persembahan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini pada Rabu.

Program 'Peacemaking-Journey between Cultures' itu dianjurkan DBKL dengan kerjasama Lincoln Corner, Perpustakaan Kuala Lumpur dan Kedutaan Amerika Syarikat.

Kareem berkata meskipun merupakan keluarga Islam minoriti di Ponca City, kehadiran mereka diterima baik penduduk di situ.

"Saya bermain di luar. Kami mempunyai banyak kawan dan ibu saya beramah mesra dengan semua orang. Dia tidak pernah menganggapkan seolah-olah terdapat perbezaan antara dia dan mereka," katanya.

Kareem akan ke Kota Baharu, Kelantan pada Khamis untuk berkongsi pengalaman dan tip kerjaya dengan para pelajar di negeri itu, sebelum berlepas pulang pada Sabtu.

Kareem, yang menghasilkan tiga album bertajuk Generous Peace (2006), This Life of Mine (2007) dan City of Lights (2011), mempunyai dua ijazah iaitu ijazah kejuruteraan kimia daripada University of Oklahama, dan ijazah undang-undang daripada Univerity of Iowa.