MALAYSIA sememangnya tidak ketandusan bakat-bakat baharu dalam bidang seni.

Lee Pei Ling, antara wajah baharu dalam dunia nyanyian yang perlu diberi perhatian apabila berjaya melangkah ke peringkat akhir pertandingan realiti popular di China, 'Sing!China'.

Menggunakan nama komersil Jeryl Lee, remaja berusia 15 tahun itu berjaya mempamerkan persembahan yang mengagumkan setiap minggu.

Jeryl terus menjadi tumpuan apabila video persembahan beliau rancak dikongsi netizen di laman media sosial.

Persembahan Jeryl ketika menyanyikan Fight Song yang merupakan nyanyian asal penyanyi antarabangsa, Rachel Platten turut mendapat perhatian ramai.

Beliau berjaya meraih pujian pengguna laman media sosial terutamanya apabila ada yang menyifatkan nyanyian gadis kelahiran Pulau Pinang itu sebagai lebih bagus daripada penyanyi asal.

Jeryl bakal bersaing dalam peringkat akhir di Stadium Nasional Beijing, Jumaat depan.

Selain Jeryl, peserta dari Singapura, Nathan Hartono turut mendapat perhatian juri pertandingan itu.

Program realiti a'la The Voice itu membabitkan barisan mentor berpengalaman dalam industri muzik, antaranya Wang Feng, Jay Chou dan Harlem Yu.

.
Video: YouTube Sing!China Official