KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan kesihatan dan keselamatan kepada seniman veteran, Jalil Hamid yang sedang diuji dengan masalah kesihatan jantung.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar memaklumkan Setiausaha Politiknya Ahmad Farhan Fauzi telah berkesempatan menziarahi dan memberikan sedikit sumbangan kepada pelantun lagu "Ayam" itu semalam.

"Alhamdulillah, semalam Setiausaha Politik saya, saudara Farhan Fauzi berkesempatan melakukan ziarah ke atas seniman Jalil Hamid serta memberikan sedikit sumbangan kepada beliau.

"Saya mendoakan saudara Jalil dikurniakan afiyah serta sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah SWT," katanya.

Jalil atau nama sebenarnya Abdul Jalil Abdul Hamid, 67, disahkan mengalami masalah jantung selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang, Mac tahun lepas.

-- BERNAMA