FILEM aksi komedi terhebat, Polis Evo 3 kini berjaya mengaut RM54 juta selepas hampir dua bulan ditayangkan di seluruh Malaysia.

Naskhah yang mengangkat kisah kepolisian itu masih menduduki tangga nombor satu filem terlaris 2023.

Rentetan kejayaan Polis Evo 3, filem lakonan mantap Zizan Razak, Shahiezy Sam dan Sharnaaz Ahmad itu diabadikan di atas kanvas konkrit sebagai seni mural di Jalan Kemuning, Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Mural ini menyaksikan gabungan elemen desa dan bandar sebagai latar Inspektor Khai dan Inspektor Sani dihiasi dengan tagline Polis Evo 3, ‘Kita Lagi Kuat Boh’.

Simboliknya adalah tidak kira di mana jua anda berasal, kita mampu mencapai impian masing-masing dengan usaha.

Mural setinggi 1000 kaki persegi itu merupakan hasil lakaran Abdul Rashade Studio.

Mural ini mendapat sokongan daripada pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) yang mengalu-alukan usaha ini dalam mempromosikan kesenian dan kebudayaan bagi memberi impak dalam menaikkan imej Bandaraya Kuala Lumpur.

Polis Evo 3 mengisahkan Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaru dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza.

Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.

Filem arahan Syafiq Yusof ini menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi.

Saksikan filem aksi terhebat tahun ini, Polis Evo 3 yang kini berada di pawagam. Gunakan #PolisEvo #PolisEvo3 #PE3 bagi berkongsi pendapat mahupun keterujaan anda tentang filem ini. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik Polis Evo 3 di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak. -- Gempak