INDIA diketahui sebagai sebuah negara dengan penduduk terpadat di dunia dan salah satu masalah yang tiada penyelesaian adalah kesesakan jalan raya.

Salah seorang pesohor yang tidak terlepas daripada masalah kesesakan jalan raya adalah Amitabh Bachchan.

Oleh kerana tersangkut dalam kesesakan jalan raya, aktor legenda itu terpaksa membonceng motosikal peminat untuk ke lokasi penggambaran.

Insiden tersebut dikongsikan sendiri oleh Amitabh bersama sekeping foto dirinya sedang membonceng motosikal seseorang yang dirakamkan di akaun media sosial.

Menerusi foto tersebut, Amitabh dilihat memakai t shirt berwarna hitam, blazer coklat dan seluar biru dilengkapi kasut putih.

Pada keterangan foto, bintang Bollywood yang menjadi pujaan dunia itu telah mengucapkan terima kasih kepada peminat yang tidak dikenali tetapi sanggup menumpangkannya ke ‘tempat kerja’.

“Terima kasih untuk membantu saya (membonceng motosikal). Saya tidak kenal anda tapi kesanggupan anda menghantar saya ke lokasi penggambaran pada tepat masa sangat dihargai.

“Naik motorsikal lebih cepat dan dapat mengelak kesesakan jalan raya. Terima kasih,” tulisnya seperti dilaporkan Hindustan Times.

Perkongsiannya itu mendapat reaksi dalam kalangan penggemar dengan salah seorang mengatakan selalu mendengar cerita Amitabh seorang aktor yang berdisplin dan tidak pernah lewat.

“Hari ini saya melihat bagaimana anda menjadi seorang bintang yang sentiasa tepat waktu. Diharap sikap ini dapat dipelajari oleh pelaku seni yang lain,” tulis seorang netizen. -- Gempak